Antara tarikan utama ke Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Baling, Kedah dan Betong di Thailand ialah Tasik Takong iaitu satu-satunya taman riadah yang cantik dan menenangkan di kawasan ini.

Tasiknya sentiasa dipenuhi air yang me­ngalir dari bukit-bukit berdekatan, pasti dipenuhi pengunjung apabila ada aktiviti diadakan di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim berkata, tasik buatan manusia yang dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH) sentiasa hidup dengan aktiviti-aktiviti menarik.

Menurutnya, antara program yang paling mendapat tempat di hati penduduk setempat mahupun pelancong seperti pesta rakit, me­nyauk ikan, sukan air, memancing, Border Fest dan sebagainya.

“Seperti program pesta rakit dan sauk ikan yang kita adakan pada hujung tahun lalu, keha­diran pengunjung ketika itu hampir mencecah 10,000 orang.

“Ini menunjukkan aktiviti seumpama itu amat diminati oleh pengunjung,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tasik Takong seumpama nadi yang menghidupkan daerah kecil ini dan ia sentiasa dijaga oleh MDPH supaya bersih dan ceria.

Kebanyakan program dilakukan secara kerjasama bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta, pe­mimpin-pemimpin setempat mahupun penduduknya yang berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli.

Terbaharu, di kawasan ini sedang diusahakan untuk dijadikan lokasi pasar terapung dengan aktiviti jualan produk makanan tempatan di atas sampan seperti yang terdapat di Hatyai, Thailand ataupun di Bandung, Indonesia.

“Usaha-usaha ke arah itu sedang dilakukan dan akan diadakan setiap minggu di kawasan tasik ini supaya sentiasa aktif dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Ini juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam usaha membantu rakyatnya menjana ekonomi, di samping menambahkan pendapatan,” kata Aznel.

Pengkalan Hulu juga berpotensi untuk berkembang menjadi sebuah bandar pelancongan di ne­geri ini apabila wujudnya pelbagai daya tarikan dan beberapa aktivitinya telah dimasukkan da­lam kalendar pelancongan negeri.

Lebih-lebih lagi kedudukan­nya strategik kerana terletak antara negeri Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, selain menjadi pintu masuk kepada pelancong asing ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand.

“Selain aktiviti di Tasik Takong, Pengkalan Hulu juga ter­kenal dengan Pesta Songkran, Program Kacau Bubur Asyura Perdana, aktiviti pa­ragliding, Ekspedisi Gua Gendang dan sebagainya,” kata Aznel.