Kawasan gunung batu kapur yang diiktiraf sebagai salah satu Warisan Dunia itu menyediakan pakej lengkap bagi pengemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung, mengembara dan meneroka gua yang mempunyai saluran serta kebuk terbesar di dunia.

Taman Negara Mulu juga dilihat sesuai bagi warga bandar ‘melarikan diri’ daripada suasana kesibukan kota metropolitan untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Baru-baru ini, penulis yang merupakan seorang penggemar aktiviti lasak berkesempatan meneroka sendiri keunikan dan keindahan biodiversiti yang terdapat di Taman Negara Mulu.

Dalam siri kembara itu, penulis sempat menjelajah Gua Rusa atau lebih dikenali Deer Cave yang mempunyai saluran gua terbesar di dunia.

Untuk tiba ke gua tersebut, pengunjung perlu menyusuri laluan papan (plank walk) sejauh tiga kilometer (km).

Suatu masa dahulu, sungai bawah tanah mengalir di kawasan gua itu, sekali gus mencetuskan proses penghakisan dan pelarutan batu kapur sehingga mewujudkan saluran terbesar berkenaan.

Gua ini mempunyai kawasan keluasan dua km panjang serta 90 meter tinggi dan lebar, manakala kebuk utamanya mempunyai lebar 174 meter dan tinggi 122 meter.

Nama Gua Rusa atau Gua Payau dalam bahasa Penan dan Berawan diberikan kepada gua terbabit kerana ia pernah menjadi tempat berteduh kepada haiwan liar itu, suatu ketika dahulu.

Satu lagi keistimewaan gua tersebut ialah berdekatan pintu masuknya terbentuk formasi berupa wajah bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln.

Difahamkan, terdapat jutaan kelawar daripada kira-kira 12 spe­sies mendiami gua tersebut iaitu terbesar direkodkan di dunia.

Berjarak kira-kira 100 meter dari Gua Rusa, pengunjung akan menemui satu lagi gua lain iaitu Gua Lang yang lebih kecil, tetapi mempunyai formasi batu yang menarik.

Sekiranya cuaca baik, antara pukul 5 hingga 6.30 petang, pengunjung akan dapat menyaksikan kira-kira tiga juta kelawar keluar dari gua tersebut untuk mencari makanan.

Selain itu, mendaki Gunung Mulu dengan ketinggian 2,377 meter menjadi satu kemestian kepada pendaki dari seluruh negara. Jarak laluan mendaki adalah 24 km sehala dan memerlukan masa tiga hingga empat hari untuk perjalanan pergi dan balik.

Bukan itu sahaja, puncak Pinnacles yang mempunyai ketinggian 1,200 meter turut menjadi lokasi yang wajib dijejaki pendaki. Masa perjalanan untuk naik dan turun mengambil masa kira-kira 10 jam.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi tempat menarik di Taman Negara Mulu yang pastinya mampu menambat hati pengunjung untuk datang kembali selepas kunjungan pertama.

Pengemar aktiviti lasak yang berminat berkunjung ke Taman Negara Mulu perlu menaiki penerbangan MASwings sama ada dari Miri ke Mulu atau Kuching ke Mulu.

Untuk keterangan lanjut, bolehlah hubungi Taman Negara Mulu di talian 085-792300 atau melayari laman web www.mulunationalpark.com.