Oleh kerana kurangnya pengendali ataupun operator yang menganjurkan sukan ini, Summit Attack Resources (SAR) tampil menawarkan aktiviti lasak itu sejak 2012. Terbaharu, aktiviti diadakan di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Perak.

Penerjun yang terlibat terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pernah mengikuti kursus Asas Payung Terjun (Statik).

Mereka adalah Nurulhani Othman, Mohd Hafizul Asraf Ahmad, Mohd Nazri Abdul Rahim, Ahmad Tarmizie Suhaimi dan Muhd Fakhrul Radzi Anoar.

Kami bergerak dari Kuala Lumpur seawal pukul 4 pagi. Setibanya di Taiping, kami menikmati sarapan sebelum mendengar taklimat keselamatan yang dipanggil ‘refresher’ oleh jurulatih. Taklimat ini penting kerana lebih setahun lamanya kami tidak melakukan penerjunan.

Ia bertujuan mengingatkan kami tentang perkara penting semasa membuat penerjunan,antaranya cara keluar pesawat, mengawal payung, mencari tempat mendarat dan cara mendarat yang selamat.

Perasaan kami ketika itu bercampur baur dan teruja, selain sedikit bimbang kerana agak lama tidak membuat penerjunan. Namun dengan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman, kami dapat mengingati semula dengan cepat.

Selesai taklimat, kami diminta bersedia dengan pakaian dan peralatan untuk membuat penerjunan. Kami dibahagikan kepada beberapa sortie yang mana setiap sortie terdiri daripada dua penerjun dalam sebuah pesawat.

Untuk setiap sortie, penerjun yang mempunyai badan yang lebih berat akan terjun terlebih dahulu atas sebab keselamatan dan memudahkan kawalan dari jurulatih.

Masa yang ditunggu telah tiba. Cuaca agak baik walaupun sedikit mendung, namun kami masih dapat melakukan penerjunan. Debaran semakin terasa apabila kipas pesawat mula berputar. Sukar digambarkan perasaan ketika itu, ditambah pula kami menggalas beg payung terjun yang agak berat.

Ketika pesawat Cessna terbang di udara, sesekali mata memandang ke arah altimeter yang dipasang di dada untuk memeriksa ketinggian sambil memandang ke arah pemandangan bumi yang indah.

Kami dapat melihat bandar Taiping dan Bukit Larut yang begitu memukau serta laut Selat Melaka yang luas.

Jarum di altimeter menunjukkan 4,000 kaki (1,219.2 meter). Ini bermakna kami akan dipanggil oleh jumpmaster bila-bila masa untuk keluar dari pesawat dan mengambil kedudukan untuk terjun.

Setelah jumpmaster mengarahkan kami mengambil kedudukan, kami segera keluar dan berpijak di platform di atas tayar pesawat sambil tangan memegang pada tiang pesawat.

Setelah bersedia, kami terus diberi arahan GO oleh jumpmaster. Ketika itu, kami dikehendaki melompat sambil mendepakan tangan dan mata memandang ke arah pesawat.

1000, 2000, 3000, 4000, 5000 check! Up!. Itulah yang perlu dihitung oleh penerjun setelah melepaskan tangan pada pesawat. Sebaik hitungan selesai, payung telah kembang dengan baik di atas kepala.

Kami perlu melakukan kerja-kerja menguji payung seperti brek, memeriksa arah angin dan lokasi mendarat.

Kami juga dikehendaki terbang atau bermain di kawasan upwind sahaja bagi memudahkan mendarat di kawasan yang dipanggil dropzone.

Sekiranya kami tersasar di kawasan itu, kebarangkalian angin akan menghanyutkan kami jauh ke belakang, sekali gus menyukarkan kami untuk mendarat di tempat yang sepatutnya.

Syukur kepada tuhan. Setelah hampir 10 minit kami terbang di udara sambil mengawal payung sendiri, kami kembali berpijak di bumi dan mendarat dengan selamat.

Sementara itu, Pengarah SAR, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, SAR sentiasa ingin berkongsi pengalaman serta membuka peluang kepada peminat sukan ekstrem dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sukan lasak di darat, air dan udara termasuk sukan payung terjun.

“Sukan ini perlu dicuba untuk mencapai kepuasan dan menambah keyakinan diri. Risiko memang ada tetapi payung terjun merupakan sukan yang selamat kerana setiap aspek keselamatan merangkumi peralatan, cuaca, teknikal pesawat dan kemampuan diri sangat dititikberatkan sebelum penerjun membuat penerjunan,” katanya.

Penerjun, Nurulhani Othman berkata, beliau teruja kerana sekali lagi dapat melakukan aktiviti ini.

“Ini merupakan impian saya dan perasaan rindu selepas kursus asas yang lalu membuatkan saya tidak sabar untuk melakukan penerjunan. Walaupun bertubuh kecil, saya berjaya membuktikan yang saya mampu melawan perasaan gayat,”ujarnya.

Seorang lagi penerjun, Mohd Nazri Abdul Rahim berkata, sukan ini dapat menguji kekuatan mental penerjun kerana ia memerlukan keberanian dan keyakinan diri.

“Saya dapat melepaskan tekanan kerja semasa melakukan terjunan. Pemandangan sewaktu ‘terbang’ di udara sangat indah dan sukar digambarkan,” tambahnya.