Mungkin kurang popular seperti Yogyakarta, namun kedua-dua kota itu merupakan pewaris kepada Kesultanan Mataram yang dibahagikan menerusi Perjanjian Giyanti pada 1755.

Meskipun kurang dikenali dalam kalangan pelancong, namun Kota Surakarta ini merupakan sebuah lokasi yang kaya dengan kepelbagaian sejarah serta budaya, selain menjadi medan terbaik kepada mereka yang menggemari makanan tradisional.

Dengan keluasan 44 kilometer persegi, Surakarta memiliki pelbagai lokasi menarik dan jarak di antara satu tempat ke satu tempat adalah berhampiran. Puro Mangkunegaran merupakan destinasi wajib dikunjungi seandainya menjejakkan kaki ke Solo kerana merupakan istana yang memiliki pelbagai barangan diraja, dari zaman Kesultanan Mataram, selain reka bentuk menarik, sesuai bagi penggemar seni bina klasik.

Bagi peminat barang antik, Pasar Triwindu merupakan lokasi paling ideal kerana di pasar itu terdapat pelbagai barangan lama, khususnya dari seluruh Indonesia yang dijual pada harga berpatutan.

Danar Hadi merupakan lokasi terbaik penggemar batik kerana bukan sahaja dibanjiri produk batik, sebaliknya turut terdapat muzium batik yang menawarkan lebih daripada 10,000 jenis batik dari pelbagai negara termasuk Indo-China, Belanda dan Indonesia.

Perkampungan Batik Laweyan pula membolehkan pengunjung merasai sendiri proses menyediakan kain batik. Jika ingin mendapatkan barangan batik pada harga jauh lebih murah, Pasar Klewer adalah lokasi terbaik.

Bagi penggemar seni pertunjukan, Kota Surakarta menawarkan Wayang Orang Sriwedari yang merupakan salah satu seni pertunjukan bangsawan berkisar tentang hikayat legenda Mahabrata dan Ramayana. Pementasan diadakan setiap hari bermula pukul 8 malam hingga 10 malam kecuali Ahad.