Lebih mengujakan, anak panda yang namanya bermaksud ‘ramah mesra’ dan dilahirkan di Pusat Konservasi Panda Zoo Negara (GPCC) kini sudah pandai memanjat, bermain serta mampu menyesuaikan diri dengan persekitarannya.

Ibu bapa kepada anak panda gergasi itu yang pada asalnya dinamakan Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan oleh kerajaan China kepada Malaysia sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik selama 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli, berkata, berdasarkan perjanjian sebelum ini, anak panda itu hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sebelum perlu dihantar pulang ke Pangkalan Panda Dujiangyan di Sinchuan, China, tempat asal pasangan Fu Wa dan Feng Yi yang kemudian menerima nama baru, Xing Xing dan Liang Liang.

“Pasangan anak panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, Nuan Nuan akan dipulangkan ke China pada 14 November ini apabila tempoh perjanjian tersebut tamat selepas dua tahun.

“Kelahiran anak panda tersebut telah menjadikan Malaysia muncul sebagai negara pertama yang berjaya menghasilkan proses persenyawaan secara semula jadi bagi pasangan panda gergasi dalam tempoh singkat. Proses itu berjaya kerana wujudnya keserasian dan keselesaan di pe­nempatan yang disediakan pihak Zoo Negara,” katanya sambil memberitahu, Nuan Nuan lahir selepas 15 bulan pasangan Xing Xing dan Liang Liang berada di Malaysia.

Anak panda itu kini telah diasingkan daripada ibu bapanya dan dilihat semakin aktif, selain sudah boleh menyesuaikan diri di Pusat Konservasi Panda Zoo Negara.

“Sejak beberapa bulan lalu, kita telah mengasingkan anak panda tersebut kerana mahu memastikan proses pemulangan tidak menimbulkan masalah.

“Selain itu, ia bagi mengelakkan Nuan Nuan bertindak kasar ketika proses membawa pulang kelak,” katanya.

Bercerita tentang kenangan terindah menjaga anak panda itu, Dr. Mat Naim menyifatkan haiwan seperti panda mempunyai sifat keibuan yang sangat tinggi.

“Kelahiran anak panda ini memberi peluang kepada warga Zoo Negara untuk melihat sifat keibuan yang tinggi terhadap anaknya, bermula daripada fasa kelahiran sehingga berusia sebulan lebih, Liang Liang menjaga Nuan Nuan dengan sepenuh hati tanpa bantuan penjaga.

“Lebih mengusik jiwa kakitangan zoo, ibu panda tersebut memeluk Nuan Nuan dan memegang erat anaknya sehingga perlu disuap makan oleh penjaganya,” katanya.

Menurutnya, hampir sebulan Liang Liang menjaga Nuan Nuan dan kini, pihak Zoo Negara sudah bersiap sedia sejak tiga bulan lalu bagi memastikan anak panda tersebut dapat menyesuaikan diri apabila pulang ke China kelak.

“Pihak kami juga menyediakan sangkar khas berbentuk cermin dan ini adalah prosedur operasi standard (SOP) bertujuan memastikan Nuan Nuan selesa sepanjang berada dalam penerbangan yang panjang menggunakan kargo.

“Sangkar khas ini akan diisi dengan makanan kegemarannya, dan Nuan Nuan kini sedang menjalani latihan untuk berada di dalam sangkar untuk tempoh sekurang-kurangnya enam jam sehari dalam tempoh dua bulan ini.

“Buat masa sekarang Nuan Nuan hanya berada di dalam sangkar khas tidak melebihi sejam dan kami akan terus melatihnya sehingga lebih enam jam kerana penerbangan dari Kuala Lumpur ke China mengambil masa kira-kira lima jam,” katanya.

Dr. Mat Naim berkata, berat badan Xing Xing kini adalah 132 kilogram (kg), Liang Liang 109 kg, manakala Nuan Nuan pula mencecah 88kg.

Jelas beliau lagi, selain itu, beberapa kakitangan Zoo Negara berpeluang menjalani latihan di negara yang menyimpan panda dalam kurungan seperti Australia, Singapura, Thailand, Hong Kong dan China.

“Kehadiran panda ini juga memberi peluang kepada kakitangan zoo menimba ilmu tentang penjagaan panda dalam kurungan dan memastikan tahap kesihatan panda berada dalam keadaan baik,” katanya.