Semporna sebuah pekan kecil terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Tawau di Sabah dengan perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira satu jam setengah menaiki kenderaan darat. Sama seperti bandar Tawau, pekan Semporna terletak di tepi laut dan ini memberi gambaran mengenai apakah aktiviti utama penduduknya.

Selain menjadi nelayan atau bekerja dengan operator pelancongan dan berniaga, penduduk Semporna yang didominasi oleh suku Bajau dan Suluk juga menjadi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Pelancong dari China dan Eropah dilihat memenuhi restoran dan bot yang membawa mereka ke destinasi tertentu di pulau pulau berhampiran seperti Mabul dan Sipadan.

Ini kerana kejernihan lautnya menjadi aset paling penting yang menjadikan pekan ini tumpuan pelancong. Selain itu, yang lebih menguntungkan, aktiviti ekonomi penduduk ini juga berkaitan dengan laut sebagai nafas yang memberi kehidupan kepada mereka. Hasil laut seperti tuna antara yang terdapat di sini. Semporna juga merupakan ladang rumpai laut yang subur dan telah menjadi ikon kepada pekan ini.

Pembangunan industri rumpai laut di sini banyak dibantu oleh usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari beberapa pihak antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang pernah menjalankan penyelidikan mengenai teknik pengkulturan menggunakan tali dan bakul khas.

Justeru, apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi beberapa agensinya termasuk antaranya Jabatan Perikanan menggerakkan usaha membangunkan industri tersebut, maka ia boleh dianggap satu khabar gembira kepada penduduk setempat.

Sebagai contoh, penganjuran fiesta mega rumpai laut yang dikenali sebagai Seaweed Splash 2018 pada 30 Mac hingga 1 April ini di Semporna merupakan satu lagi usaha ke arah mempromosi potensi industri tersebut bagi faedah pengusaha dan masyarakat setempat secara keseluruhannya.

Seaweed Splash yang dianjurkan kementerian berkenaan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) bertujuan untuk mempromosikan industri rumpai laut di negeri berkenaan. Program bertujuan membantu meningkatkan permintaan dan pendapatan penternak serta membantu meningkatkan harga semasa rumpai laut, selain perluasan potensi pasaran tempatan dan juga eksport.

Dijangka lebih 5,000 penggiat industri tersebut berhimpun di Semporna, sekali gus mempromosi sektor pertanian setempat sebagai kawasan agropelancongan.

Pelaksanaannya secara berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang melibatkan penggiat rumpai laut, penjawat awam dan sektor swasta dan akan berterusan sepanjang tahun ini.

Negeri Sabah yang terletak di kawasan Segi Tiga Batu Karang merupakan antara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah (Rhodophyceae) spesies Kappaphycus spp. dan Eucheuma spp. bagi penghasilan biopolimer marin iaitu karagenan, yang terbesar selepas negara Filipina dan Indonesia.

Sebanyak 10 syarikat peneraju iaitu lapan di Semporna dan dua di Kunak dilantik oleh kerajaan bawah projek ladang mini, manakala enam kluster iaitu lima di Semporna dan satu di Tawau telah ditubuhkan bagi menggabungkan pengusaha kecil sedia ada secara berkelompok.

Program tersebut berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha melebihi RM1,500 sebulan melepasi tahap kemiskinan.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd. Nawi berkata , seiring dengan pembangunan huluan rumpai laut, pelbagai program R&D telah dijalankan dengan kerjasama UMS, dan agensi lain seperti SIRIM Berhad dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Kajian R&D ini mampu menghasilkan nilai tambah kepada produk rumpai laut.

“Antara penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI membuktikan bahawa Rumpai Laut Semporna adalah yang terbaik kerana mengandungi kandungan gel karagenan yang paling berkualiti,’’ ujarnya.

Justeru katanya, Jabatan Perikanan dengan kerjasama SIRIM Berhad dan Jabatan Standard Malaysia turut mengeluarkan garis panduan (SOP) bagi Amalan Baik Pertanian Malaysia (MyGAP) untuk Rumpai Laut dan sehingga kini lebih 50 ladang projek Kluster Lok Buton Semporna berjaya mendapat pensijilan MyGAP.

Program tersebut sebagai usaha kerajaan dalam mentransformasi golongan sasar untuk lebih berdaya saing, berpengetahuan dan medium terbaik dalam menyampaikan faktor keceriaan kepada masyarakat. Ini serta secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan suasana mesra antara golongan sasar dengan kerajaan.

Program tersebut juga membantu menaikkan industri pelancongan khasnya di Semporna, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dan bakal melahirkan usahawan hiliran industri rumpai laut melalui aktiviti sebegini.

Pelbagai acara di Semporna

Mahek kamemon ma Semporna!

“Semua dijemput ke Semporna” sempena fiesta mega rumpai laut pada pada 30 Mac hingga 1 April ini yang merupakan daerah yang kaya dengan khazanah bernilai dan juga kawasan agropelancongan.

Industri rumpai laut di pekan tersebut dapat meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan, menstabilkan harga serta perluasan potensi pasaran tempatan dan juga eksport.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd. Nawi memberitahu, berbagai-bagai acara akan mengisi program Seaweed Splash 2018 itu untuk penglibatan semua pengunjung di sepanjang tiga hari program ini berlangsung.

Fiesta mega rumpai laut ini membawa objektif keprihatinan kerajaan dalam usaha meningkatkan pengeluaran rumpai laut dan produk nilai tambah, serta meningkatkan permintaan dan perluasan pasaran tempatan dan juga eksport, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan penggiat industri ini di seluruh rantaian nilai.

“Di samping itu dapat mempromosi Semporna sebagai tarikan agropelancongan dan mampu menjana pendapatan yang baik kepada penduduk Semporna,’’ katanya.