Kelah dianggap raja sungai di sekitar Lubuk Kejor, masih terkawal daripada kerakusan manusia, berenang di celah batu, bermain arus di air jernih dan dingin tanpa terusik.

Bagaikan menanti kedatangan, ia bermesra dengan sesiapa sahaja yang menjengah di air, me­nyapa dengan ciuman dan geselan sambil menyambut taburan palet makanan dalam suasana yang membawa senyuman dan tawa keriangan kepada semua.

Ia pastinya pengalaman yang sangat menguja bagi sesiapa termasuk 45 pelatih Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang di Pulau Kerengga, Marang yang pertama kali menjejak kaki ke tasik Kenyir baru-baru ini.

Bagaikan suatu terapi, gambaran pada wajah dan reaksi mereka bermain bersama kelah sudah cukup menggambarkan pesona yang mereka nikmati berada di alam semula jadi itu di negeri sendiri.

Kehadiran orang kelainan upaya (OKU) itu yang mengikuti pelbagai kurus kemahiran turut ditemani empat guru pengiring dan tiga kakitangan merupakan aktiviti riadah bulanan yang dirangka dengan lokasi berbeza.

Mohamad Izudin, 21, yang kali pertama menyertai lawatan ke Tasik Kenyir bersama rakan-rakan menyifatkan pengalaman yang sangat menyeronokkan dan berhasrat datang lagi untuk mandi dan bermain bersama kawanan ikan.

“Dapat ke santuari kelah bermain dengan ikan memang satu aktiviti yang hebat. Mana ada pe­luang begini di tempat lain dan kalau boleh nak datang lagi. Seronok sungguh,” katanya di sini.

Seorang guru pengiring, Nik Mohd. Latif Nik Mat, 37, pula berkata, aktiviti luar bengkel yang dilaksanakan setiap bulan itu amat berbeza dan menguja sepanjang lebih 10 tahun berkhidmat di pusat kebajikan berkenaan.

“Bagi saya yang juga pertama kali sampai di Kenyir dan bermain dengan kelah ini, suasana ini amat menyeronokkan. Pelatih juga terhibur, gembira dan seperti golongan lain,” katanya.

Santuari ini yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21) mula dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2008.

Ia terbatas kepada 100 pengunjung sehari dan Lembaga kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) merancang membuka satu lagi lubuk ikan kelah dan lubuk ikan lampan berdekatan santuari sedia ada bagi menampung kedatangan pelancong yang meningkat saban hari.