Namun, tidak bererti tiada aktiviti langsung. Justeru, destinasi menarik berdekatan tempat tinggal menjadi pilihan. Memadai untuk berkelah beramai-ramai bersama rakan-rakan permotoran.

Itulah yang dilakukan oleh 20 ahli Kelab Motosikal Nimota CK9 Shah Alam (CK9SA) baru-baru ini. Kesemua mereka berkonvoi ke Kalumpang Resort di Hulu Selangor, Selangor.

Resort itu merupakan sebuah tempat peranginan yang terletak di kawasan kaki bukit. Tarikannya adalah air terjun yang cantik dan sesuai untuk seisi keluarga.

Perancangan untuk ke Kalumpang Resort dibuat sejak Mei lagi. Perancangan yang lama diperlukan supaya semua ahli kelab bersedia untuk mengambil cuti di tempat kerja masing-masing.

Lebih mengujakan apabila pihak pengurusan Kalumpang Resort sudi menaja penginapan kami. Terdapat pelbagai jenis bilik di pusat peranginan itu.

Antara jenis penginapan yang ditawarkan adalah calet, vila, khemah dan asrama pada harga yang sangat berpatutan.

Tujuan aktiviti dibuat adalah untuk meraikan ulang tahun CK9SA keempat, selain sebagai aktiviti berkonvoi di hujung minggu.

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu setengah jam dari Shah Alam menerusi Lebuh Raya Utara Lembah Klang (NKVE), kemudian menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan keluar di Plaza Tol Tanjung Malim.

Kami bertolak dari Shah Alam kira-kira pukul 4.30 petang dan tiba di Kalumpang Resort pada pukul 6 petang.

Ketibaan kami disambut dengan deruan air terjun dan bunyi unggas di hutan yang begitu menenangkan.

Apabila sampai, siap sahaja daftar masuk penginapan, kami terus menukar pakaian untuk mandi di kawasan air terjun.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke gigi air terjun untuk mandi-manda dan ‘berendam’, terus hilang keletihan dan kekusutan di tempat kerja.

Setelah puas menikmati kedinginan air sungai yang jernih mengalir, kami berehat seketika sebelum menikmati makan malam. Selepas makan, ada dalam kalangan kami terjun semula ke dalam sungai. Walaupun sejuk sehingga ke tulang, kami tetap meneruskan aktiviti mandi-manda sekitar pukul 12.30 tengah malam.

Mungkin ada beranggapan berbahaya mandi-manda di sungai pada waktu malam. Namun tidak di Kalumpang Resort kerana pihak pengurusan telah merentangkan tali dari tebing ke tebing untuk keselamatan pengunjung yang sedang mandi. Tali itu boleh digunakan pengunjung untuk berpaut ketika mandi.

Keesokan paginya dan selepas sarapan, kami sekali lagi terjun ke dalam sungai untuk mencuba pula pelbagai aktiviti air seperti flying-fox, tubing dan gelongsor air.

Sebelum bertolak pulang pada pukul 2 petang, kami sempat bergambar untuk merakamkan kenangan di sana.

Tidak dinafikan keindahan alam dan keseronokan mandi sungai di Kalumpang Resort menjanjikan percutian singkat yang sangat berbaloi.