Tinjauan di ekspo tersebut, seorang pengunjung dari Taiping, Perak, Azizah Hasin, 64, sanggup ke sini untuk merasai sendiri pengalaman mengunjungi lima kubah utama yang memperincikan pembangunan infrastruktur terkini dan masa depan.

“Pengalaman melawat kelima-lima kubah tersebut melahirkan sifat cintakan negara dan rasa bertuah menjadi anak Malaysia apabila dapat merasai kemajuan yang saban tahun telah banyak berubah.

“Pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan seharian kita, contohnya selepas kewujudan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), perjalanan saya ke Padang besar tidak lagi memakan masa panjang,” katanya ketika ditemui di Ekspo Negaraku, Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Ekspo Negaraku adalah anjuran Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri yang dibuka secara percuma bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam sehingga 15 Disember ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang merupakan penjawat awam, Hafizuddin Mohamed, 30, berkata ekspo tersebut membuat dirinya berasa kagum dengan perancangan kerajaan untuk 50 tahun akan datang dan berharap semua itu bakal terlaksana.

“Walaupun negara kita tidaklah semaju seperti di Jepun dan lain-lain, tetapi saya percaya usaha kerajaan telah menuju ke arah itu.

“Saya percaya remaja yang hadir ke ekspo ini akan berasa sangat bertuah apabila mereka lahir dengan kemajuan yang semakin canggih di Malaysia, yang mana sebelum ini tidak pernah dirasai oleh nenek moyang kita,” katanya.