Kali pertama, jujur penulis katakan tidak punya banyak pengetahuan tentang Negeri Di Bawah Bayu. Disebabkan itu, penulis bersama keluarga mengambil keputusan untuk meluangkan lima hari menerokai keistimewaan yang ada di bumi bertuah ini.

Sabah cukup indah dan mempesona. Hari pertama dimanfaatkan dengan menerokai keunikan Kota Kinabalu yang terkenal dengan pelbagai tarikan khususnya keenakan makanan laut di Dataran Todak yang boleh dinikmati pada harga berpatutan.

Tidak lengkap lawatan ke Sabah tanpa kunjungan ke Taman Kinabalu, Kundasang yang terkenal serata dunia. Diiktiraf sebagai taman negara sejak 1964, lokasi ini memiliki keunikan flora dan fauna serta kemudahan penginapan untuk pengunjung.

Apabila berada di Kundasang, jangan lepaskan peluang ke Desa Cattle Dairy Farm yang popular dengan keindahan panorama bak New Zealand. Terletak di kaki Gunung Kinabalu, pengunjung boleh menghabiskan masa melakukan pelbagai aktiviti menarik dengan bayaran kemasukan RM5 untuk dewasa dan RM4 (kanak-kanak).

Seterusnya, penulis dan keluarga mengunjungi Pusat Santuari Ikan Kelah Jinak di Kampung Luanti, Ranau. Dengan bayaran RM5 untuk dewasa dan RM2 (kanak-kanak), pengunjung dapat melihat dan bermain dengan spesies ini secara dekat.

Hari keempat, kami ke Tamparuli untuk melawat Rumah Terbalik yang dikhabarkan pertama di Asia. Rumah ini dibuka kepada pengunjung seawal pukul 7 pagi hingga 7 petang dan untuk masuk, RM10 dikenakan bagi dewasa pemegang Mykad, RM5 kanak-kanak.

Hari terakhir penulis bersama keluarga banyak dimanfaatkan dengan aktiviti melawat pulau-pulau kecil yang terletak berhampiran ibu negeri. Menjadi antara agenda yang ditunggu-tunggu sejak hari pertama, aktiviti ini sememangnya memberi kepuasan buat penulis yang gemarkan suasana pantai.

Kami sempat mengunjungi tiga pulau iaitu Manukan, Memutik dan Sapi. Banyak aktiviti boleh dilakukan termasuk snorkeling dan mandi-manda. Walaupun ramai pengunjung, kebersihan sekitarnya tetap terpelihara.

Jika berpeluang ke pulau-pulau ini, penulis sarankan pembaca mencuba aktiviti selam dasar laut yang membolehkan pengunjung merakam gambar dan bermain dengan ikan. Pada awalnya memang agak gementar, namun merasai sendiri pengalaman itu, terasa ingin melakukan lagi.

Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti riadah seperti flying fox dan paragliding. Dua aktiviti ini membolehkan pelancong melihat keindahan pesisir pantai secara menyeluruh.

Dari pergunungan hingga pulau-pulau menarik, Sabah muncul destinasi percutian yang sempurna di mata penulis. Kunjungan sulung ini membuatkan penulis ‘jatuh cinta’ dan merancang untuk kembali ke sini lagi.