Apa yang dia katakan kepada saya sama seperti apa yang saya fikirkan sebelum ini. Rutin harian mereka sama seperti rutin harian di Kuala Lumpur atau di mana-mana tempat asal mereka.

Cuma peluang untuk mengembara lebih terbuka luas, di samping dapat berkongsi kehidupan dengan masyarakat setempat dan suasana yang sudah pasti berbeza.

Selain itu, satu lagi kelebihan golongan bermastautin di luar negara adalah peluang mempelajari budaya masyarakat setempat.

Mohd. Adli sendiri tidak lokek bercerita mengenai pengalamannya bertugas di beberapa buah negara lain, selain Kanada sepanjang menyandang jawatan di Wisma Putra.

Malah saya juga dapat merasakan pengalaman yang sama diceritakan olehnya semasa berada di Vancouver walaupun saya singgah di bandar itu untuk beberapa tempoh yang pendek sahaja.

Antaranya bagaimana perbezaan mentaliti, budaya dan cara hidup mereka yang mungkin kita beranggapan negatif sebelum ini.

Namun ada satu perkara saya masih tertanya-tanya. Adakah kehidupan di luar negara sebagai imigran dan tinggal untuk selama-lamanya juga sama seperti mana majoriti kawan-kawan saya fikirkan?.

“Duduk di ‘oversea’ lagi bagus. Gaji mahal, hidup senang, banyak kos yang murah berbanding tinggal di Malaysia,” Itulah perkataan yang kerap kali saya dengar daripada beberapa rakan saya.

Sementara itu, sebaik sahaja saya berjaya mendapatkan nombor telefon mereka termasuk pelajar Malaysia di sana daripada Mohd. Adli, saya terus menghubungi mereka.

Orang pertama yang saya hubungi adalah pelajar program Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Afiqah yang sedang menuntut di Universiti British Columbia (UBC), berasal dari Kuala Lumpur.

Dia juga merupakan kakitangan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Seperti biasa sebelum berjumpa, ada pelbagai persoalan saya fikirkan.

“Andai kata dia pulang bercuti ke Malaysia, dengan siapa pula aku nak jumpa? Takkan nak jumpa En. Adli lagi. Arghh... lantaklah. Telefon dulu dan tengok apa yang dia nak katakan. Nasiblah,”

Rupa-rupanya saya silap. Afiqah yang turut membawa suami dan anak tunggalnya ke Kanada terus menjemput saya menikmati makan tengah hari di rumah mereka. Kata Afiqah pada masa itu, beberapa pelajar Malaysia juga akan menghadiri jamuan itu yang diadakan beberapa hari sebelum menyambut puasa.

Saya bersetuju. “Ini peluang baik. Lagi senang kerja aku,”.