Beliau berkata, pengalaman menikmati keindahan ciptaan Allah yang sangat indah di negara matahari itu amat mengujakan perasaan mereka kerana ia tidak wujud di negara sendiri.

“Pengalaman menggunakan perkhidmatan keretapi laju yang cekap dan lengkap menunjukkan negara berkenaan berjaya mengetengahkan teknologi moden untuk keselesaan hidup penghuninya.

“Cabaran dari segi penggunaan bahasa yang tidak difahami dapat di atasi dengan menggunakan aplikasi Google Translation di samping dibantu mereka yang boleh berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Siti Zabidah berkata, jika pelancong menghadapi masalah mengenai jalan atau laluan kurang pasti, mereka boleh guna khidmat penerangan di kaunter informasi yang membantu dengan cekap.

Ketika sampai mereka tidak membeli belah di Tokyo kerana tidak mahu membawa beg berlebihan ke Osaka. Menurutnya, di Osaka banyak tempat membeli- belah terutama di Big Camera yang menyediakan pelbagai pilihan jam, kasut dan beg tangan wanita berjenama di samping harganya agak murah berbanding di Malaysia.

“Walaupun ketika musim bunga suhu di sana masih rendah dan angin sejuk pula begitu nyaman, namun ia sungguh selesa dinikmati sepanjang hari kecuali di Osaka Park dan Osaka Castle yang cuacanya agak panas.

“Jika diberi kesempatan kami ingin berkunjung lagi ke sana bagi menikmati suasana berbeza, terutama musim luruh yang dapat menyaksikan pokok berdaun merah dan kuning bertaburan di atas bumi,” katanya.

Sementara itu Nur’ain Zareena berkata, dia bersama ahli keluarga merancang melancong ke Jepun sejak setahun lalu bersesuaian dengan masa persaraan ibunya baru-baru ini di samping mahu menikmati sendiri keindahan bunga sakura pelbagai warna yang menjadi kebanggaan warganegara matahari terbit itu sempena Tulip Festival di Chiba, Sakura – Usuida.

Menurutnya, ahli rombongan sangat teruja dengan tulip pelbagai warna, selain membeli barang cenderamata di Asakusa, Tokyo. Dari situ mereka sempat ke Gala Yuzawa bermain salji di samping melihat pemandangan yang indah di situ.

“Kami menyelusuri gunung dengan menaiki kereta salji yang dibawa selama 15 minit dengan bayaran sebanyak 500 yen seorang.

“Kami juga tidak melepaskan peluang ke Fujiyoshida dalam usaha menikmati keindahan Gunung Fuji yang diselaputi salji sepanjang tahun dan merupakan salah satu gunung paling terkenal di dunia.

“Gunung Fuji seolah-olah dipagari bunga sakura yang sangat indah di sepanjang perjalanan pulang kami ke Tokyo terutama di sekitar Tasik Kawaguchiko,” katanya.

Nur’ain Zareena berkata, mereka sekali lagi menikmati keindahan tulip pelbagai warna di Yokohama.

Paling mengujakan apabila secara kebetulan dapat bertemu semula dengan teman jemaah haji di Mekah pada tahun 2015, Umi Kalsum Awang yang berasal dari Malaysia.Dalam pertemuan itu Umi Kalsum menyediakan mereka makanan halal di Jepun.

“Kami membawa anak-anak kecil ke tempat kegemaran mereka di Yokohama Anpanman Children’s Museum And Mall.

“Pada hari sama kami berpeluang ke Tourism Nation Japan bagi mengenakan pakaian tradisional negara berkenaan iaitu Kimono tanpa dikenakan sebarang bayaran,” jelasnya.

Nur’ain Zareena berkata sepanjang menaiki keretapi laju Shinkanshen, selama dua jam setengah dari Tokyo ke Osaka mereka dapat menyaksikan bandar industri termaju di dunia itu dipenuhi bangunan padat di kiri kanan landasan di samping sesekali diselangi dengan ladang-ladang pertanian hijau luas terbentang.

Ketika berada di Nipppombashi, Osaka, mereka turut menikmati makanan laut dan berkesempatan berkunjung ke akuarium terbesar dunia di Kaiyukan Aquarium.

Memukau

Ia memperlihatkan bangunan 11 tingkat yang menunjukkan kehidupan marin di Lautan Pasifik daripada jenis ikan paling kecil sehinggalah kepada paus, jerung, anjing laut, memerang dan lain-lain.

“Di Nara Park kami disambut dengan sekawan rusa yang agak banyak dan kelihatan lapar. Biskut rusa di jual di sekitar kawasan berkenaan dengan harga 150 yen bagi menarik pelancong bermesra dengan binatang berkenaan yang terletak berhampiran Kofukuji Temple manakala pagodanya setinggi lima tingkat.

“Dari situ kami menuju ke tempat pembuatan kuih tradisional Jepun iaitu Mochi yang dibuat secara tradisional mengandungi tepung pulut yang masih panas ditumbuk dengan kayu secara berdua hingga kembang dan lembut.

“Mochi di sini berwarna hijau lembut dan berinti kacang merah dengan harga sebiji 130 yen,” katanya.

Dalam perjalanan akhir menuju Lapangan Terbang Kansai mereka sempat singgah bergambar di Osaka Castle dan kebetulan cuacanya baik dan pemandangannya yang sangat indah dan memukau.

Ia bukan saja indah dengan taman-taman sekitarnya, malah bangunan istana itu sendiri cantik dan bersejarah apabila dibina dengan seni lama Jepun sendiri.

Keindahan bunga sakura dan kesejukan suhu di Jepun pada musim bunga sentiasa menggamit hati mereka untuk kembali ke sana suatu masa nanti walaupun kosnya agak tinggi.