Bagi warga Lembah Klang, Cyberview Resort and Spa merupakan salah satu lokasi yang sesuai untuk menikmati percutian yang mendamaikan. Dikelilingi pokok-pokok palma yang tinggi, dedaun subur menghijau, taman tropika yang indah dan laluan santai, pusat peranginan itu menggabungkan daya tarikan desa dengan keselesaan serba moden.

Merupakan pusat peranginan bertaraf lima bintang, Cyberview Resort and Spa dibina dalam kawasan seluas kira-kira 11.6 hektar. Persekitarannya dikelilingi taman-taman berkonsepkan landskap yang menarik, di samping perkhidmatan bertaraf dunia dan hospitaliti yang tiada tandingannya.

Resort tersebut menawarkan bilik dengan kemudahan yang selesa, dilengkapi katil dan perabot yang diperbuat daripada kayu jati. Terdapat sebanyak 106 buah calet, dua suite dan dua banglo.

Lebih menarik suite bulan madu eksklusif dan suite Presiden disediakan untuk mereka yang inginkan keselesaan maksimum. Kedua-duanya dilengkapi dengan jakuzi yang menghadap pemandangan taman.

Bilik-bilik tersebut turut dilengkapi perkhidmatan internet tanpa wayar percuma, televisyen, peti keselamatan di dalam bilik, balkoni peribadi, meja dan ruang tamu.

Bagi pengunjung yang menggemari masakan Itali yang lazat, anda pasti tidak akan kecewa. Bistro Cascata yang terdapat di resort ini menawarkan hidangan menu Itali pada waktu tengah hari hingga malam dengan pelbagai pilihan untuk dinikmati dalam suasana indah dan menenangkan.

Jika inginkan suasana santai sambil menikmati masakan Pan-Asia, bolehlah berkunjung ke Restoran Verandah yang memiliki seni bina bumbung yang tinggi, lantai menggunakan material kayu dan tingkap berkaca.

Di sini juga terdapat Karma Bar dan ruang istirehat iaitu lokasi pertemuan yang menjadi kegemaran mereka yang ingin menikmati snek dan minuman petang.

Sebagai alternatif, terdapat juga Chillax Pool Bar bagi mereka yang ingin berehat di tepi kolam renang dan Restoran Cina Xing Zhu yang menghidangkan masakan Cina yang sungguh menyelerakan.

Tidak hanya menyaksikan keindahan suasana di sekitarnya, malah anda boleh menikmati urutan spa yang mengasyikkan.

Sembunyi Spa yang terdapat di lokasi penginapan ini pula menawarkan pelbagai gaya rawatan wajah dan urutan badan secara tradisional. Sambil merehatkan minda, bolehlah meluangkan masa untuk urutan seluruh badan, apatah lagi bagi mereka yang penat bekerja.