Keesokan hari pukul 5 pagi, kami bertolak ke Lapangan Terbang Auckland untuk ke Christchurh yang memakan masa sejam 15 minit. Kami terus ke Jucy Car Rental untuk menyewa kereta selama lima hari. Sistem pemanduan dan jalan raya yang sama tidak memberi sebarang masalah. Tapi perlu berhati-hati dengan had laju yang ditetapkan iaitu 100km/j. Antara tempat yang dikunjungi ialah Christchurch Botanic Garden, Canterbury Museum dan Gondola.

Bayaran untuk menaiki gondola sebanyak NZD22 yang terletak di puncak Port Hills berada 500 meter daripada paras laut. Kami dapat menikmati pemandangan indah sekitar bandar Christchurch.

Muzium Canterbury telah dibuka kepada orang awam sejak 1867 yang memberi fokus kepada koleksi berkenaan Canterbury dan Antartika. Muzium ini hanya sedikit terjejas semasa gempa bumi tahun 2011. Tempat penginapan ialah di Southern Comfort Motel yang amat selesa.

Perjalanan kami seterusnya ialah ke Tasik Takepo yang menggunakan scientic road yang melalui kawasan perkampungan dan hampir dengan gunung. Pemandangan di kiri kanan jalan memang amat menarik iaitu pemandangan kawasan perkampungan yang luas, ternakan bergerak bebas dan banjaran gunung berdiri utuh dilitupi salji. Suhu di luar sekitar 6 hingga 8darjah Celcius ditambah dengan tiupan angin memang rasa sejuk sampai ke tulang.

Kemudian kami ke Tasik Pukaki sebab berada di laluan yang sama. Perjalanan seterusnya ialah ke Mount Cook di mana kami perlu mendaki selama 20 minit melalui tasik biru dan di puncak melihat pemandangan glasier yang cukup indah. Penginapan pada malam tersebut ialah di Wanaka TOP Holiday Park dengan keadaan yang sederhana mempunyai bilik air dan dapur di bahagian luar. Suhu di luar ialah sekitar -1 darjah Celcius sehingga embun di atas kereta turut membeku.

Kami bergerak seawal pukul 9 pagi ke Puzzling World Wanaka dengan bayaran NZD18. Tarikan di tempat tersebut ialah seni ilusi optik contohnya ialah paip air tergantung, rumah senget dan pelbagai bentuk yang luar biasa. Tempat ini mempamerkan kehebatan karya seni bina arkitek seiring kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

Seterusnya kami ke Cardnora Alpine Resort untuk menikmati pemandangan salji dengan lebih dekat. Di situ juga menyediakan perkhidmatan bermain ski kepada pelawat. Kami menghabiskan masa di situ dengan bermain ais dan mengambil gambar untuk dijadikan kenangan.

Seterusnya kami ke Te Anau melalui Tasik Wakatipu mengambil masa dua jam setengah. Tasik Wakatipu sungguh indah dengan air kebiru-biruan berkedalaman 380 meter, merangkumi kawasan seluas 291 kilometer (km) persegi dan sepanjang 80 km. Tempat penginapan kami di Te Anau Top 10 Holiday Park yang selesa dan punyai bilik air dan dapur di bahagian luar.

Hari berikutnya kami ke Milfrod Sound iaitu suatu tempat yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Sesiapa yang sudah berkunjung ke sini dapat menjelaskan keindahannya. Kami melalui Tasik Wanaka, Mirror Lake dan Homer Tunel. Mirror Lake tasik yang airnya begitu tenang dan jika cuaca amat baik kita akan dapat melihat refleksi banjaran gunung dengan jelas di permukaan air. Homer Tunel pula ialah terowong sepanjang 1.2km yang hanya mempunyai satu laluan sahaja menembusi Pergunungan Alpine.

Pemandu perlu berhati-hati melalui laluan ini berdasarkan lampu isyarat. Aktiviti wajib di Milford Sound ialah menyusuri fiord menggunakan cruise, bot atau kayak. Fiord merupakan lembah yang terbentuk melalui aktiviti glasier melebihi kedalaman lautan. Kawasan ini terletak di taman negara Fiordland iaitu taman negara terbesar antara 14 taman negara yang ada di sini. Kami menyewa bot dengan bayaran NZD10 untuk melihat dengan lebih dekat keindahan air terjun Lady Bowen.

Kembara di pulau selatan berakhir di bandar Queenstown. Kami hanya sempat mengunjungi Art Gallery dan kedai cenderamata sebelum meneruskan penerbangan ke Auckland. Kami menggunakan perkhidmatan Sky Bus untuk menuju ke penginapan di Kiwi International Hotel.

Sebelum berangkat pulang ke tanah air, kami berjalan-jalan di sekitar bandar raya Auckland untuk melihat tempat-tempat menarik antaranya ialah Auckland Sky Tower yang tingginya 325 meter. Kami meninggalkan NZ dengan seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.