Bandar kedua terbesar di Croatia yang mempunyai lebih 100,000 penduduk dan terletak berhampiran Lautan Adriatic ini menjadi tempat terakhir sebelum ke Sarajevo, Bosnia Herzegovina dan seterusnya pulang ke Malaysia.

Biarpun terpaksa melalui perjalanan panjang untuk sampai ke sini dan tinggal hanya beberapa hari, ia sememangnya berbaloi, lebih-lebih lagi kawasan itu merupakan tumpuan rakyat Croatia.

Jadi, secara tidak langsung harga barangan sudah tentu lebih murah terutama makanan laut.

Selain itu, kedudukan jeti yang terletak berhadapan deretan kafe dan restoran menjadi kawasan sesuai kepada pengunjung untuk bersantai dan beristirehat sambil ‘mencuci mata’.

Ketika musim panas, pelbagai aktiviti diadakan seperti festival dan juga pesta makanan.

Inilah peluang saya melihat cara kehidupan masyarakat di sini, apatah lagi mereka pernah berhadapan peperangan walaupun tidak seteruk di Sarajevo atau Srebrenica.

Rutin saya semasa di Split pula menyeronokkan walaupun tidak tinggal begitu lama. Setiap pagi, saya biasanya akan berlari di sekitar kawasan jeti atau Bukit Marjan.

Sebaik sahaja tamat, saya meluangkan masa bersama rakan melihat keindahan bandar raya Split atau ke pasar Pazar untuk memerhati gelagat penduduk tempatan.

Apa yang menarik, pasar seakan-akan pasar tani di Malaysia itu tutup agak lewat iaitu sehingga pukul 3 petang. Ketika inilah pembeli boleh berunding dengan penjual untuk mendapatkan sehingga lebih separuh harga, jika bernasib baik. Semakin lewat anda pergi ke pasar itu semakin murah harga barangan.

Bagaimanapun, jika ada sesiapa berniat mendapatkan barangan berjenama, baik lupakan saja kerana Split bukanlah syurga untuk golongan seperti ini terutama yang gemarkan barangan mewah seperti LV dan Gucci.

Kira-kira tiga hari saya melakukan perkara sama setiap hari di Split tanpa bosan kerana keadaan di sini agak berbeza. Tenang dan mendamaikan. Malah, saya dapat melupakan segala hal dan rutin di negara asal dengan melihat keindahan ciptaan-Nya.

Sewaktu berada di sini, penduduk setempat menyambut beberapa festival dan perayaan. Jadi, suasana lebih meriah dengan pelbagai aktiviti diadakan, di samping sifat ramah dan mesra penduduk tempatan.

Bagi rakyat Malaysia yang merancang untuk ke Split, anda perlu melihat Diocletian Palace yang menjadi salah satu Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan reka bentuk Roman. Ia terjaga rapi tanpa banyak ubah suai.

Selain itu, pelancong boleh pergi ke Hvar atau Brac, pulau yang menjadi tumpuan pelancong dengan menaiki feri. Tetapi segalanya bergantung kepada cuaca dan ombak di Laut Adriatic.

Saya sendiri terpaksa melupakan niat tersebut ekoran hujan lebat dan ombak kuat sehingga memaksa feri yang dinaiki berpatah balik walaupun jaraknya hanya tinggal kira-kira 20 minit perjalanan. Alhamdulillah, segala perjalanan berjalan lancar.

Walaupun tidak lama di sini, perjalanan jauh begitu berbaloi. Setelah tiga hari ‘berkampung’ di Split, saya seterusnya bergerak ke Sarajevo sebagai destinasi terakhir sebelum pulang ke Malaysia. Kali ini segala perjalanan berjalan lancar tanpa banyak dugaan seperti sebelumnya walaupun memakan masa lebih lapan jam.