Bagaimanapun, Kem Berhulu di Kampung Serting Ulu, Jempol, Negeri Sembilan adalah antara salah satu pusat perkhemahan yang menawarkan pakej sempurna untuk aktiviti sedemikian.

Terletak kira-kira dua jam pemanduan dari Plaza Tol Senawang, Seremban atau tiga jam setengah dari Kuala Lumpur, lokasi itu menampilkan konsep aktiviti luar dan alam sekitar yang menepati cita rasa remaja masa kini.

Apabila memasuki kawasan ini, pengunjung akan dapat menikmati suasana kampung serta ketenangan berada di kawasan rekreasi dengan terdapatnya sebuah jeram. Ini sesuai dengan nama Berhulu yang diambil sempena lokasinya terletak di hulu Kampung Serting Ulu.

Antara kelebihan yang terdapat di Kem Berhulu adalah aktiviti rentas halangan berlumpur yang bukan sahaja menyeronokkan, malah mencabar. Terdapat juga aktiviti gelongsor air menggunakan air bukit dikenali sebagai splash boom yang menjanjikan keriangan dan keterujaan kepada peserta.

Pengarah Urusannya, Amir Zulhairi Md. Yusof berkata, dengan mempunyai barisan fasilitator berpengalaman, kebanyakan pengunjung kembali semula ke kem tersebut untuk pelbagai aktiviti perkhemahan.

Tambahan lagi, dengan kemudahan serta aktiviti yang sentiasa ditambah baik, menjadikannya tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai.

“Lokasi ini juga mendapat pengiktirafan tempat ketiga Anugerah Desa Perdana bagi kategori kampung tradisi peringkat kebangsaan baru-baru ini,” ujarnya.

Tambah Amir Zulhairi, kem tersebut kerap menjadi pilihan untuk aktiviti perkhemahan sekolah, institusi pengajian tinggi serta agensi swasta dan kerajaan.

“Selain berkhemah, ramai bertanyakan tentang produk baharu kami iaitu mendaki Bukit Broyai yang terletak berdekatan kem ini. Hampir setiap hujung minggu, terdapat kumpulan pendaki yang naik ke bukit itu untuk menikmati pemandangan matahari terbit,” ujarnya.

Katanya, harapannya agar Kem Berhulu menjadi sebuah pusat sehenti untuk semua eleman motivasi dan aktiviti luar dengan kepelbagaian kemudahan serta aktiviti menarik.

Bagi yang inginkan kegiatan lasak, terdapat juga aktiviti berakit dan menaiki ATV di laluan mencabar di sekitar kem.

Kem ini menyediakan dua pakej sama ada sewaan kawasan sahaja atau mengambil pakej penuh aktiviti dan kem motivasi yang dikendali jurulatih berpengalaman kira-kira 20 tahun dalam bidang ini.

Terdapat juga pakej perkhemahan pada harga berpatutan iaitu serendah RM10 hingga RM300 bergantung kepada keperluan pelanggan.