Selain berpeluang melihat antara tiga tempat tercantik di British Colombia yang diceritakan sebelum ini, saya turut mengunjungi Banjaran Rockies iaitu salah satu destinasi menarik terletak kira-kira 800 kilometer (km) dari Vancouver.

Perjalanan ke Banjaran Rockies bermula selepas dua bulan di Vancouver dan hanya tinggal beberapa minggu sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Pada mulanya saya merancang ke Yukon dan seterusnya ke Alaska, AS. Namun rancangan diubah. Saya mengambil keputusan untuk ke Banff dan Jasper yang menjadi sebahagian dalam kawasan banjaran tersebut.

Namun semasa mula-mula hendak ke sana, saya terfikir perlukah saya menyewa kereta atau cukup sekadar menaiki bas sahaja kerana mahu melawat keseluruhan tempat di kawasan berkenaan.

Ketika itu saya hanya ada dua pilihan. Jika menaiki bas, saya dapat mengunjungi Banff tanpa singgah di tempat-tempat lain seperti Jasper, Tasik Louise, Tasik Moraine dan Tasik Payto kerana jarak antara satu sama lain agak jauh yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan tinggi.

Walau bagaimanapun nasib saya agak baik pada masa itu. Abang Z, Uncle Mad dan Kak Mek kebetulan mahu bercuti ke sana dan mengajak saya bersama mereka. Jadi ini merupakan rezeki dan peluang baik. Tanpa ragu-ragu maka saya terus membuat pilihan ketiga ini.

Dalam pada itu, selepas segala persiapan lengkap saya bersama mereka bertolak ke Banjaran Rockies. Kebiasaannya, perjalanan akan mengambil masa selama kira-kira 10 jam atau lebih untuk ke sana.

Tetapi kami singgah di Kelowna, Okanagan, Summerland dan Pentincton serta Osoyoos yang merupakan sempadan antara Kanada dan AS di bahagian Washington, AS.

Ketiga-tiga kawasan ini terletak berdekatan antara satu sama lain dan merupakan kawasan penanaman anggur, pic dan epal serta kawasan yang popular dengan pembuatan wine. Apa yang menarik adalah kawasan sekitarnya begitu cantik dengan dikelilingi tasik yang begitu luas.

Pada saya kawasan ini sangat menarik seolah-olah berada dalam kawasan gurun yang subur dengan dikelilingi kebun anggur dan buah-buahan. Selain itu, apa yang saya perhatikan di sini adalah cara mereka mengurus ladang dan kawasan tanaman yang agak teratur.

Mereka menjadikannya bukan sekadar kawasan pertanian semata-mata, tetapi merupakan tempat pembuatan wain dan antara kawasan popular dalam peta pelancongan Kanada.

Kami hanya singgah beberapa jam sahaja sebelum ke Banjaran Rockies. Apa yang saya perhatikan, kawasannya begitu luas ini diurus rapi. Mungkin salah satu kelebihannya adalah kerana mempunyai tasik luas dan sungai yang bersih serta cantik.

Apa yang menarik adalah bagaimana penduduk di sini menggunakan peluang yang ada dengan menjadikan kawasan itu sebagai tempat tarikan. Malah, banyak kawasan luas yang dijadikan sebagai kawasan rehat dan rawat seakan-akan di Malaysia di sediakan tempat untuk meletak caravan.

Pada masa itu saya terfikir mungkin ada baiknya beberapa kawasan di Malaysia menggunakan konsep yang sama untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong pada masa akan datang.

Disebabkan masa yang agak suntuk dan perlu tiba di Banff yang terletak dalam kawasan Banjaran Rockies sebelum malam, kami meneruskan perjalanan.