Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Nyanyian 'Organ Laut' di Kota Zadar

Pelancong berpusupusu menunggu matahari terbenam di Zadar sambil mendengar alunan muzik ‘Organ Laut 3
Pelancong berpusupusu menunggu matahari terbenam di Zadar sambil mendengar alunan muzik ‘Organ Laut'.

ADA satu kejutan tatkala kami dibawa pemandu pelancong Paula Padovan melawat kota Zadar yang pernah diberi jolokan sebagai ‘Pintu ke Wilayah Dalmatia’ yang terletak di barat daya Croatia. Nun di hujung kota Zadar, ada melodi sedang bergema, sayup-sayup kedengaran seperti suara nyanyian yang muncul dari celah-celah dermaga kota Zadar.

Kami diberitahu Paula, itulah ‘Organ Laut’, daya tarikan utama di kota ini yang telah dibina pada tahun 2005 oleh seorang arkitek bernama Nikola Basic. Sebenarnya, ‘Organ Laut’ yang dimaksudkan Paula ini bukanlah alat muzik ciptaan terbaru tetapi merupakan sebuah tembok yang dibina di sepanjang pesisir pantai dan mampu menghasilkan bunyian secara semula jadi.

Namun, Paula menerangkan tembok ini bukanlah kosong seperti disangkakan tetapi di bawahnya terletak sebanyak 35 tiub yang akan mengeluarkan bunyi apabila udara ditolak oleh ombak masuk ke tiub berkenaan.

Ciptaan ini merupakan organ muzikal pertama di dunia yang dilahirkan melalui lautan secara harmoni. Pergerakan ombak di laut akan menolak udara sebelum ia sampai ke pesisir pantai.

“Udara ini kemudian akan memasuki lubang udara yang terdapat dalam tembok tersebut sehingga menghasilkan bunyi muzik berirama. Namun bunyi yang dihasilkan ini sangat bergantung kepada saiz dan kelajuan ombak,” cerita Paula.

Paula menerangkan, dalam erti kata lain semakin kuat ombak menghempas tembok berkenaan, semakin kuatlah bunyi yang dihasilkan. Seperti mana sebuah organ, setiap daripada 35 tiub berkenaan akan menghasilkan bunyi berbeza dan pelbagai.

Tiub berkenaan diletakkan di bawah konkrit tembok berkenaan bagi membolehkan air laut dan pergerakan angin bertemu seterusnya menghasilkan alunan bunyi semula jadi yang eksklusif untuk pengunjung pantai.

Muzik yang dihasilkan ini mampu mendamaikan jiwa kita seolah-olah membentuk satu kombinasi unik antara alam semula jadi dan manusia.

Memandangkan kekuatan tenaga dihasilkan adalah di luar kawalan lantaran dihasilkan oleh ombak dan angin, maka bunyi muzik ini adalah berbeza.

Namun Organ Laut di kota Zadar umpama menawarkan satu ‘konsert’ muzik tanpa henti setiap masa dan lebih istimewa lagi ia dilangsungkan secara semula jadi oleh alam itu sendiri.

Lebih istimewa, jika muzik ini didengari tatkala kita menyaksikan matahari terbenam, ia satu pengalaman sungguh hebat dan mengujakan!.

Malah pengarah filem terkenal, Alfred Hitchcock yang pernah melawat Zadar menyifatkan pemandangan matahari terbenam paling mengasyikkan di dunia hanya boleh dinikmati di Zadar.

Bagi Alfred, mendengar muzik yang dimainkan secara semula jadi oleh Organ Laut merupakan suatu pengalaman paling hebat pernah dilaluinya sebagai pengembara dan pengarah terkenal. Pelancong pastinya akan terpukau dengan keindahan Laut Adriatik yang jernih kebiruan menghiasi pesisir kota ini.

Apa yang istimewa, laut di pesisir kota lama Zadar ini tidak mempunyai pantai berpasir.

Lantaran bentuk muka bumi dan jaringan laut yang agak dalam, tidaklah menghairankan apabila kebanyakan kota di sini direka bentuk menjadi sebuah bandar pelabuhan atau maritim, termasuklah Zadar.

Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, Zadar merupakan sebuah bandar pelabuhan yang cukup epik. Perdagangan di sini cukup makmur. Pada era tersebut, kota ini mendominasi aktiviti perdagangan laut di Dalmatia. Apa sahaja barangan dagangan yang ingin di bawa masuk perlu melalui dermaga di Zadar.

Pada kurun tersebut, kebanyakan lelaki tempatan bekerja dalam sektor pelayaran sebagai kelasi kapal Popeye The Sailor Man. Lantaran kisah epik itu, ikon Popeye agak popular di kota kuno ini. Bahkan, kebanyakan cenderamata yang dijual juga berkonsepkan perkapalan seperti kelasi berlengan besar, topi kelasi, sauh atau stereng pengemudi kapal.

Seperkara lagi yang menarik di sini ialah lampu besar digelar Greeting The Sun. Objek ini yang dibina di atas organ laut merupakan limpahan lampu yang dipancarkan menggunakan kuasa solar pada waktu malam.

Menikmati alunan organ semula jadi, menyaksikan fenomena matahari terbenam dan menghayati pancaran lampu solar antara pengalaman tidak dapat dilupakan tatkala melawat Zadar.

Itulah antara momen-momen potret terindah di kota Zadar! Sambil menyusuri keindahan kota Zadar, entah mengapa kita seakan-akan disihir seperti dalam watak Harry Potter sebaik sahaja memasuki zaman silam yang sungguh mempesonakan.

Kota kuno ini pernah menjadi rebutan empayar hebat era silam seperti Rom, Byzantine, Yugoslavia, Serbia dan Empayar Uthmaniah. Justeru tidaklah menghairankan apabila kota ini berselerak dengan segala monumen bersejarah seperti gereja, biara dan istana berkonsepkan Gothic, Roman dan Renaissance yang mampu memukau pandangan sesiapa.

Di dalam kota ini juga terdapat pelbagai bangunan bersejarah seperti Gereja St. Donatus, runtuhan monumen Roman Forum, Siroka Street dan Episcopal Complex yang merupakan warisan sejarah UNESCO yang tiada tandingan.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan