Sebenarnya, besen tersebut hanya bekas untuk mengisi makanan yang telah dipesan namun ia boleh dinikmati secara berkongsi lebih daripada seorang menggunakan mangkuk lebih kecil.

Itulah kelainan cuba diketengahkan pemilik restoran Mi Besen Ori Melaka, Nor Faezah Khalid, 25, dan suaminya, Azlan Idris, 31, yang telah memulakan perniagaan tersebut awal tahun lalu.

Walaupun perniagaan tersebut baru setahun diusahakan namun sambutan diterima amat menggalakkan malah membuatkan mereka ‘tidak menang tangan’ melayan pelanggan yang datang dari dalam dan luar Melaka.

Azlan memberitahu, premis tersebut sebenarnya merupakan sebuah butik pakaian berkonsepkan vendor yang dikendalikan isterinya sejak awal tahun lalu.

Bagaimanapun jelasnya, perniagaan menjual pakaian dan barangan solekan wanita kurang mendapat sambutan malah menghadapi pelbagai masalah termasuk kecurian dan sebagainya.

“Dalam masa sama, kita turut membuka kafe kecil di butik ini dengan menjual minuman dan makanan termasuklah mi sup hasil resepi ibu Nor Faezah.

“Bagaimanapun, sambutan orang ramai terhadap kafe tersebut lebih tinggi berbanding jualan pakaian di butik itu hingga membuatkan kami terfikir untuk mengubahnya menjadi sebuah restoran.

“Alhamdulillah, pilihan itu telah membuka rezeki melimpah ruah kepada kami sekeluarga hingga makanan ini dikenali di seluruh negara kerana keistimewaan mi besen yang kami sediakan,” katanya ketika ditemui S2, baru-baru ini.

Jelas Azlan, mi besen daging atau ayam itu boleh dinikmati dalam tiga pilihan saiz iaitu saiz S untuk hidangan dua hingga tiga orang, saiz M (3-4 orang), Size L (4-6 orang) yang masing-masing berharga RM6, RM10 dan RM15.

“Pengunjung juga mempunyai tiga pilihan mi termasuk dari jenis mi soya, kuey tiaw dan mi kuning di samping pelengkap hidangan seperti sayur sawi, taugeh dan fishball,” ujarnya.

Selain hidangan mi besen, pengunjung juga boleh menikmati keunikan makanan barat yang dihidangkan dalam talam atau dikenali sebagai Talam Western berharga RM35.

Talam Western yang boleh dinikmati antara tiga hingga empat orang itu mempunyai empat jenis makanan termasuk chicken chop dengan sos istimewa, kentang goreng, spageti cabonara dan bebola daging ala Ikea.

“Kita memilih menggunakan bekas hidangan yang besar seperti besen dan talam ini bagi mengeratkan perhubungan sesama keluarga dan rakan dengan makan berkongsi beramai-ramai,” tambah Azlan.

Selain itu, pengunjung juga boleh memilih untuk menikmati pelbagai pilihan minuman istemewa yang disediakan di restoran tersebut temasuk big chocolate candy, big delicious, white lulu nestume, chocolate candy cocolicious, rebina soda laici big, nestum float, chocolate float dan lain-lain berharga dari RM3.50 hingga RM10.90.

Mi Besen

Ori Melaka

> Alamat: GF 11, 
Pangsapuri Laksamana I, Lorong Tambi Abdullah 4, Banda Hilir, Melaka

> Waktu operasi:

3.30 petang - 10 malam

(Isnin Tutup)

> Telefon: 010-2737895/

011-28354784