Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan, Perdagangan dan Ke­penggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, bagi menjayakan usaha tersebut dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), beberapa inisiatif strategik akan dilaksanakan.

Menurutnya, konsep R2R itu merangkumi semua produk, aset dan pembangunan Taman Negara Endau-Rompin, kawasan pantai, pulau dan terumbu karang yang terdapat di perairan Mersing.

“Pembangunan pelancongan KampungStay Kampung Air Papan dan Pantai Teluk Buih kini sedang dalam proses lantikan juruperunding reka bentuk yang dijangka dimuktamadkan pada bulan depan.

“Komponen pembangunan ter­masuk pembinaan calet serta menaik taraf rumah pengusaha inap desa dan kemudahan pelancongan serta latihan kemahiran usahawan kepada peserta di bawah Program Pembangunan Modal Insan ECER,” katanya menjawab soalan K. Raven (BN-Tenggaroh) mengenai projek baharu yang terdapat di Mersing bagi meningkatkan sektor pelancongan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, bagi Tanjung Penyabong pula me­rangkumi pembinaan kompleks gerai maka­nan laut, pusat kraftangan dan usaha menaik taraf jeti pelancong dan nelayan yang dijangka siap Mei 2019.