Program pendakian anjuran Summit Attack Resources (SAR) itu telah diadakan pada penghujung Januari lalu dan berlangsung selama lapan hari.

Gunung yang mempunyai ketinggian 3,886 meter itu terletak dalam daerah Heping di Taichung, Taiwan. Walaupun sekadar gunung kedua tertinggi di negara itu, namun pendakiannya lebih sukar berbanding dengan pendakian Gunung Jade yang merupakan gunung tertinggi di Taiwan.

Menurut Pengarah SAR merangkap ketua ekspedisi, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, program ini telah dirancang hampir setahun yang lalu bersama rakan-rakan yang turut meminati aktiviti mendaki.

Menurutnya, semua persiapan pendakian telah dilakukan dengan teliti terutama dari aspek peralatan dan pakaian mendaki yang sesuai sebelum berlepas ke Taipei bagi memulakan ekspedisi.

“Aspek pakaian amat dititikberatkan kerana kami mendaki pada musim dingin yang mana sebahagian laluan ke puncak dipenuhi salji. Peralatan dan pakaian yang sesuai dan lengkap merupakan antara syarat yang perlu dipatuhi pendaki, selain kecergasan diri,” katanya kepada S2.

Antara perkara yang diberi perhatian adalah pakaian yang kalis air dan tahan sejuk, kasut berpaku (crampon), kapak ais (ice axe), topi keselamatan, tongkat, cermin mata hitam dan jaket tebal.

Menurut Mohd Fakhrul, cabaran mendaki Gunung Syue berbeza dengan gunung bersalji yang lain termasuk kem pangkalan induk seperti Annapurna Base Camp (ABC), mahupun Everest Base Camp (EBC) di Nepal yang sering didaki rakyat Malaysia.

Perbezaan itu, katanya adalah pendaki perlu bertahan dalam persekitaran cuaca di kawasan pergunungan Syue yang lebih lembap dan sejuk sehingga mencecah 10 darjah celcius di bawah paras beku.

“Pendaki juga perlu memikul beg galas sendiri yang mengandungi pakaian, makanan dan peralatan mendaki tanpa menggunakan khidmat pengangkut barang (porter) dari kalangan orang tempatan.

“Jika di ABC atau EBC, khidmat porter boleh didapati yang mana pendaki hanya perlu membawa beg galas kecil, namun di Gunung Syue, semua peralatan termasuk pakaian dan makanan dibawa sendiri. Bebanan beg galas yang berat itu tentunya memerlukan pendaki lebih tahan lasak,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kesemua peralatan mendaki telah diperiksa dengan teliti oleh pemandu arah berpengalaman, Khafiz Bachok bagi memastikan pendaki membawa keperluan yang mencukupi dan tidak kesejukan sewaktu mendaki.

Ini kerana katanya, jika peralatan dan pakaian tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, pendaki, maka keseluruhan kumpulan berhadapan 
bahaya dan risiko mendapat hiportemia yang boleh membawa maut.

Dalam ekspedisi ini, pendaki terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman. Mereka adalah Muhamad Khirul Bahri Basaruddin, 57; Husain Jahit, 51; Zainuri Misfar, 49; Mohd Nazri Abdul Rahim, 38; Rosuardi 
Nizam Mohammad Rodzi, 40; Nurulhani Othman, 34; Junefaezah Yaakob, 41; Fariza Hanum Omar, 34; Nur Habibah Omar, 29; Azizah Jamil, 33; dan seorang warganegara Filipina yang bertugas di Malaysia, Aaron Anacan.

Mohd Nazri Abdul Rahim berkata, cabaran paling getir adalah sewaktu meredah salji dan angin yang kuat ketika ke puncak. Namun, katanya cabaran itu memberikan kepuasan kepadanya apabila berjaya menjejakkan kaki di puncak gunung Syue.

“Syukur kerana tuhan mempermudahkan urusan dan kami berjaya mendaki dan pulang dengan selamat,” katanya.

Seorang pendaki wanita, Fariza Hanum Omar pula berkata, cabaran suhu sejuk dan perjalanan yang panjang amat perit dirasakan semasa dalam pendakian.

“Namun, dorongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakan pendaki yang lain memberikan saya kekuatan untuk terus ke puncak. Kerjasama dan kemesraan mereka bagaikan kami sebuah keluarga,” katanya.