Yang pasti, peluang menikmati percutian di Turki memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Destinasi pertama dijejaki adalah Istanbul, bandar terbesar di negara itu. Kami menuju ke Jambatan Galata yang popular dalam kalangan kaki pancing. Sajian tempatan yang cukup enak turut dinikmati. Perjalanan diteruskan ke Bursa dengan menaiki bas. Keesokan harinya, kami melawat beberapa tempat menarik termasuk Ulu Cami Grand Mosque dan perkampungan Cumalikizik yang dibina semasa pemerintahan Ottoman Sultan Orhan Gazi (1326-1360).

Pada hari ketiga, penulis dan ahli rombongan dibawa menyaksikan persembahan fesyen dan membeli barangan kulit seperti jaket dan tas tangan di Leather Outlet Center di Kusadasi. Kusadasi merupakan sebuah bandar peranginan di perairan Aegean.

Ancient City of Ephesus merupakan bandar tinggalan purba bersejarah. Di kawasan bandar tinggalan purba itu, kami dibawa melihat The Gate of Heracles State Agora dan Library of Celsus. Kemudian kami ke Isa Bey Mosque yang dibina pada 1375, sebuah masjid bergaya tradisional dengan reka bentuk begitu klasik.

Kami meneruskan perjalanan ke Pamukkale, kawasan pergunungan terkenal dengan tarikan Cotton Castle. Kawasan itu merupakan teres-teres kolam air panas berwarna putih di lereng bukit. Di situ, kami berpeluang merendamkan kaki dalam suasana santai.

Keesokan harinya, kami bertolak ke Konya yang terkenal dengan upacara Wherling Dervish dan hikayat ahli sufi Nasreddin Hoca. Penulis turut melawat Muzium Mevlana yang dahulunya merupakan pusat keagamaan Islam dan pembelajaran ahli sufi di Turki ketika era pemerintahan Seljuk Turks dan Uthmaniyyah.

Perjalanan diteruskan ke Cappadocia, antara destinasi yang menjadi lokasi paling ditunggu penulis. Selain tarikan utama belon udara panas yang dikenakan bayaran AS$200 (RM880), destinasi itu menyajikan pelbagai keindahan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Antaranya Pigeon Valley iaitu batuan yang diukir seperti lubang bagi burung merpati. Selain itu, Camel Valley pula mempunyai batu-batu besar pelbagai bentuk, antaranya menyerupai unta.

Kami juga tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan di perkampungan Uchisar yang sebahagian darinya digelar Uchisar Castle yang mana penduduk tempatan menebuk dan mengukir batuan di situ untuk dijadikan rumah. Ia seakan-akan filem The Flintstones.

Kami meluangkan masa di Cappadocia selama dua hari satu malam. Terbukti bandar ini memiliki banyak tarikan. Kami seterusnya dibawa melihat hasil kerja tangan tradisional orang Turki iaitu membuat tembikar di Avanos Pottery Village, butik barangan kemas berasaskan batu turquoise dan Silk Carpet Factory yang terkenal dengan seni halus dan kualiti karpet buatan tangan Turki.

Perjalanan diteruskan ke Ankara yang memakan masa kira-kira enam jam . Berbeza dengan bandar yang dilawati sebelum ini, Ankara adalah kota yang sibuk. Ini kerana ibu pejabat tentera, Parlimen dan beberapa bangunan kerajaan terletak di situ. Ankara juga pusat pemerintahan kerajaan Mustafa Kamal Ataturk iaitu pemerintah yang menukarkan Turki daripada sebuah negara Islam kepada sekular.

Kemudian penulis melawat Ataturk Mausoleum yang merupakan sebuah kompleks makam seakan Parthenon di Athens yang menempatkan jasad Bapa Turki, Mustafa Kemal Ataturk, di samping muzium yang menempatkan koleksi peribadi beliau. Kami seterusnya bermalam di Bolu.

Keesokan paginya, kami kembali ke Istanbul. Melalui gabungan seni budaya dan sejara, Istanbul muncul sebagai bandar yang mempesona dan menawarkan banyak keunikan kepada pengunjung. Pengalaman menaiki Bosphorus Cruise membolehkan kami melihat tempat persinggahan kapal besar dan panorama indah kawasan sekitar.

Kami seterusnya singgah ke tempat wajib dilawati. Tidak lain dan tidak bukan, Masjid Biru atau disebut dalam bahasa Turki sebagai Sultanahmet Camii.

Ia adalah masjid bersejarah dan dibina antara 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Ahmed I. Ayasofya atau Hagia Sophia yang dahulunya pada zaman Byzantium merupakan sebuah gereja, namun diubah menjadi masjid oleh Sultan Fatih Mehmed II selepas menakluk Constantinople.