Dengan perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit dari ibu kota, pengunjung yang menginap di situ bukan sahaja dapat menikmati percutian yang cukup menenangkan, malah ia turut merangkumi percutian berkonsepkan kesihatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Felda Tra­vel Sdn. Bhd. (Felda Travel), Nora Azmin Radzuan, kebanyakan pengunjung menggemari lokasi percutian itu kerana hanya dalam satu tempat yang sama, mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti.

“FRHS menawarkan 64 bilik hotel pelbagai jenis serta 18 vila persendirian. Di dalam vila persendirian itu pula, turut disediakan jakuzi yang boleh mengeluarkan buih serta mampu mengawal suhu panas dan sejuk.

“Selain itu, kebanyakan air yang disalurkan ke seluruh penginapan di FHRS terutamanya bagi kegunaan kolam mandian atau jakuzi datangnya dari sumber mata air asli yang terdapat di sekeliling kawasan tersebut,” katanya.

Di FRHS, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati kesegaran alam semula jadi, malah detik berjalan di atas titian kayu pelantar berukuran 200 meter pasti akan meninggalkan memori yang tersendiri apabila asap-asap hangat dari mata air panas menyapa tubuh.

Seorang kakitangan berpengalaman di situ, Said Saad berkata, pondok Natural Sauna yang berada di tengah-tengah laluan itu memberikan peluang kepada pengunjung menikmati rasa sauna sebenar.

“Kawasan ini memiliki kira-kira 200 punca mata air panas dan dengan izin Allah, dipercayai sumber air panas di sini mempunyai unsur-unsur penyembuhan untuk beberapa jenis penyakit seperti masalah kulit, tekanan, lenguh badan dan otot.

“Pernah ada seorang lelaki yang menghidap strok datang ke sini suatu masa dahulu. Pada mulanya, anggota badannya tidak berasa apa-apa, namun setelah berendam dalam tempoh yang agak lama, dia mengeluarkan peluh dan darahnya mula mengalir lancar,” katanya.

Dia yang mula berkhidmat sejak pembukaan resort ini pada 2003 berkata, kaedah mandi atau berendam di kolam mata air panas boleh memberi kelegaan tetapi dengan syarat, tidak melebihi 30 minit dalam satu masa.

Penulis juga diberitahu air panas di situ mempunyai kandungan sulfur atau belerang dan apabila ia mengalir keluar dari rekahan batu granit, sulfur akan mendap menjadi alga dan alga itu boleh dijadikan skrub untuk mencerah dan melembutkan kulit muka.

Tidak jauh dari situ, terdapat kolam bersuhu di antara 30 hingga 100 darjah celcius dan pengunjung boleh mencuba aktiviti merebus telur hanya menggunakan air panas tersebut.

Telur yang direbus dalam kolam itu apabila masak tidak hanyir kerana kolesterol yang terdapat di dalam telur itu telah disingkirkan secara semula jadi.

Selain mencuba aktiviti itu, pengunjung berpeluang menyaksikan panorama indah bukit-bukau serta perkampungan Orang Asli yang menarik dengan cara berjalan kaki, menunggang basikal atau all terrain vehicle (ATV).

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 05-4388801/ 8803 atau layari laman web www.feldatravel.com.my untuk maklumat lanjut.