Kali ini, penulis sempat ‘berkenalan’ dengan buah tanjung dan jala mas. Kedua-duanya adalah kuih yang teramat manis sehinggakan memakannya, terasa seperti menelan gula!

Disebabkan terlupa bagaimana bentuk kuih tahi itik, penulis bertanyakan kepada penjual yang kesemuanya adalah wanita.

Sambil menuding jari ke arah satu bekas plastik yang mengandungi tiga jenis kuih, seorang penjual berkata, “Itu tahi itik...,yang ini buah tanjung”.

Dengan pantas, penulis mencapai bekas plastik tadi dan terus membukanya. Melihat rupanya, memang tak cantik.Namun untuk menelannya pula, terasa seperti satu penyeksaan kerana rasanya yang teramat manis.

‘Ehhh..aku tak leh (boleh) telan ler. Melekit gula kat tekak,” ujar penulis sambil meletakkan semula kuih tersebut ke dalam bekas plastik tadi. Selepas itu, kami meneruskan ‘rondaan’ di dalam pasar yang dibuka pada 1985 ini.

Beberapa langkah dari gerai kuih tadi, mata terus tertancap pada sedulang bunga berwarna ungu. Cantik dan segar bunga yang menjadi ramuan utama nasi kerabu. Itulah bunga telang! “Saya tanam sendiri bunga ini. Alhamdulillah, permintaan bunga tidak pernah putus,” kata seorang peniaga, Marina Moktar. Dia telah 10 tahun berniaga di pasar ini.

Katanya, bunga telang bukan sahaja digunakan untuk membuat nasi kerabu, malah boleh dijadikan ulam segar yang dicicah dengan budu.

“Ada juga yang beli dalam jumlah yang banyak untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

“Bunga ini akan dijemur sehingga kering sebelum disimpan di dalam botol,” ujarnya. Selain itu, Pasar Siti Khadijah turut menawarkan aneka jenis kain. Syurga kain ini terletak di tingkat tiga. Pilih mana yang berkenan sama ada sutera, batik atau songket.

Rambang mata melihat kepelbagaian kain yang ditawarkan pada harga berpatutan mengikut gred. Pasar yang terletak dalam kawasan Buluh Kubu di pusat bandar Kota Bharu ini ditukar namanya kepada Pasar Besar Siti Khadijah pada 1997, sebagai tanda penghormatan kepada kaum hawa oleh kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besarnya ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sempat juga penulis ‘menyambar’ sepasang kain batik berwarna biru untuk dibawa pulang. Selepas puas membeli-belah dalam ruang yang semakin membahang dek kerana matahari semakin tinggi, misi berikutnya adalah merakamkan gambar pasar basah dari tingkat tiga.

Berbentuk segi lapan, susunan tempat menjual barangan basah kelihatan berpetak-petak. Disebabkan kehadiran saya pada waktu tengah hari, maka beberapa petak gerai sudahpun ditutup.

Bahang semakin panas, namun penulis sempat singgah di tingkat satu untuk membeli serunding daging, ikan bilis dan keropok.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali Kak Dah berkata, dia menjual serunding daging, karipap mini, popia, dodol dan pelbagai makanan kering.

Katanya, ada dua jenis serunding iaitu diperbuat daripada daging tempatan dan daging import.

“Serunding daging tempatan berharga RM65 sekilogram, manakala daging import RM55 sekilogram. Harga berbeza kerana kualiti serunding daging tempatan lebih tinggi, selain lebih sedap,” katanya.

Menurutnya, dia yang berniaga di gerai nombor 71 turut menerima tempahan. Bagi yang mahu membuat tempahan bolehlah menghubunginya talian 013-9546102.