Akibat gempa bumi ribuan tahun dahulu, pulau ini telah terpisah dengan daratan. Begitu juga dengan pulau-pulau di sekitarnya seperti Pulau Rondo, Pulau Rubiah, Pulau Seulako dan Pulau Klah.

Untuk sampai ke Pulau Sabang ini, kita perlu menaiki feri selama 45 minit dari Pelabuhan Uloe Lheue untuk menyeberang ke Pelabuhan Balohan di Sabang.

Apa ada di Pulau Sabang? Pulau Sabang terkenal dengan keindahan pantainya yang biru dan alam semulajadinya. Antara pantai yang sering dikunjungi oleh pelancong ialah Pantai Iboih, Pantai Kasih, Pantai Tapak Gajah, Pantai Sumur Tiga, Pantai Anoi Itam,

Pantai Pasir Putih, Pantai Ujung Kareung, Pantai Lampuuk dan sebagainya.

Di kawasan pantai ini terdapat rumah penginapan mulai dari kelas backpacker hingga yang mewah. Terdapat juga sewaan motor, kereta dan alat-alat untuk snorkeling. Tidak ketinggalan juga banyak warung makan yang menyajikan pelbagai jenis masakan tempatan.

Tugu Nol Kilometer adalah merupakan titik kosong kilometer Indonesia. Tugunol kilometer memiliki nilai sejarah. Dari segi kepuasan peribadi, rasanya kita berbangga jika sudah sampai di hujung paling barat Indonesia. Jika ingin melihat matahari terbenam, di sinilah lokasi paling indah.

Kota Sabang merupakan pusat bandar bagi pulau ini. Di sini terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barang keperluan bagi penduduk di pulau ini. Di sini juga terdapat Masjid Agung Babussalam, iaitu satu-satu masjid yang terbesar yang dibina hasil sentuhan arkitek dari Turki.

Tumpuan utama lawatan ke Banda Acheh semestinya untuk melihat dengan lebih dekat lagi kesan-kesan peninggalan tsunami seperti di masjid-masjid dan perkampungan penduduk di sekitarnya.

Atur cara pertama di Banda Acheh ialah mengunjungi Masjid Raya Baitulrahman. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Acheh yang terselamat daripada bencana tsumani pada tahun 2004. Ketika ini masjid ini telah dibaikpulih menjadi masjid yang paling indah menyamai Masjid Nabawi kerana mempunyai banyak khemah berbentuk payung di kelilingnya. Tempat wuduk dan tandasnya terletak di bawah tanah.

Keajaiban

Masjid kedua yang kami kunjungi ialah Masjid Rahmatullah di daerah Lampuuk. Walaupun terletak hanya 500 meter dari pantai, sebahagian besar masjid ini masih kukuh sewaktu hempasan badai tsunami.

Sebelum Tsunami, perkampungan ini didiami oleh sekitar 6,000 penduduk yang umumnya berasal dari kelas menengah ke atas. Masyarakat di perkampungan ini kebanyakan kakitangan PT. Semen Andalas Indonesia, selain itu terdapat pula nelayan dan petani.

Ketika kejadian tsunami, seluruh kawasan ini hancur hanya sekitar 700 penduduk yang selamat.

Keajaiban Masjid Rahmatullah ini telah diceritakan sendiri oleh imam masjid itu yang terselamat daripada bencana tsunami. Ketika kejadian dia berada di bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan Solat Duha selepas bergotong-royong dalam satu majlis perkahwinan di rumah jiran.

Empat orang anak perempuan dan isterinya berkumpul di hadapan rumah apabila terdengar riuh air naik ke darat. Mereka berpelukan kebingungan apa yang terjadi pada saat itu. Ketika gelombang tsunami menyerang, mereka terpisah. Imam masjid itu tiba-tiba berada di bumbung masjid lalu berpaut pada sebatang pokok kelapa yang menghampirinya. Hingga saat ini dia tidak menemui keluarganya.

Satu lagi keajaiban akibat tsunami yang melanda masjid adalah berpindahnya kubah sebuah masjid seberat 80 tan di Desa Gurah, Peukan Bada, Aceh Besar. Kubah yang kini dikenali dengan nama Masjid Al-Tsunami ini dulunya merupakan kubah masjid Jamik di Desa Lamteungoh, Peukan Bada, Aceh Besar.

Ketika tsunami melanda, seluruh bangunan masjid ini rosak dan hanya tinggal kubah masjid berdiameter 4x4 meter. Kubah ini telah di bawa arus gelombang sejauh 2.5 kilometer dan terdampar di Desa Gurah sebuah kawasan sawah padi.

Banda Acheh yang dikenali juga sebagai serambi Mekah mempunyai banyak lokasi yang boleh dikunjungi oleh para pelancong. Antaranya kapal Besar Janakuasa Letrik seberat 2600 tan yang dibawa arus tsunami sejauh lima kilometer dan terdampar di sebuah kampung.

Di samping itu, kita juga boleh melawat ke Muzium Tsunami, Muzium Acheh, Taman Gunungan, Makam Sultan Iskandar Muda, Taman Blang Padang, Muzium Cut Nyak Dhien dan sebagainya.

Kota Banda Aceh adalah lokasi paling aman dan nyaman. Tidak hairanlah andai dinamakan sebagai “Serambi Mekah”. Pelancong yang berkunjung ke sini terasa selesa kerana tidak akan dikerumuni oleh penjual jalanan seperti di tempat-tempat lain di Kepulauan Indonesia.