Pada tiga Ogos lepas, Srikandi Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (Pakat) berpeluang pergi bercuti selama empat hari tiga malam di sekitar Krabi, Thailand.

Rancangan untuk bercuti ke Krabi ini merupakan inisiatif Srikandi Pakat bermula dengan hanya borak-borak kosong dan akhirnya menjadi realisasi.

Misi mereka hanya satu iaitu percutian dengan kos yang minimum tetapi dapat memberi kepuasan dan kenangan yang sukar dilupakan. Di wilayah ini, rata-rata penduduknya menggunakan bahasa Siam. Namun, sebahagian besar penduduknya beragama Islam.

Sebaik sahaja tiba di Krabi, mereka mendaftar masuk di hotel Krabi Front Bay Resort, yang terletak di tengah bandar tersebut.

Krabi Front Bay Resort ialah sebuah resort yang baru dibina di bandar Krabi, yang terletak betul-betul di hadapan Ao Nong-Nuch Bay menghadap ke Laut Andaman dengan pemandangan indah pokok bakau di Koh Klang. Menariknya, resort ini berkonsepkan resort halal yang unik di bangunan bertingkat rendah dengan gabungan gaya tradisional Maghribi dan hiasan gaya Thai Selatan yang moden.

Dilengkapi 82 bilik yang bergaya, masing-masing dengan balkoni peribadi, para tetamu boleh menikmati kemudahan terbaik di resort ini dan mendapat manfaat dari bangunan yang mesra, persekitaran taman, restoran halal, bilik-bilik dan kemudahan mesyuarat, kolam renang dan bar.

Resort ini hanya 20 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, lima minit dari Krabi Town, 20 minit ke Pantai Ao Nang dan dua jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. Destinasi ini menjadi pilihan yang ideal untuk tetamu bercuti, berbulan madu, keluarga dan mesyuarat korporat.

Suasana malam di Pekan Krabi sangat meriah dengan kehadiran pelancong luar negara dan sudah tentu sebilangannya rakyat Malaysia. Pelancong Islam tidak menghadapi masalah untuk mencari makanan halal kerana terdapat banyak peniaga beragama Islam yang berniaga di sekitar Pekan Krabi.

Sementara itu, hiburan di bandar ini pada waktu malam semakin berkembang pesat dan boleh didapati sepanjang masa. Deretan kedai, restoran dan pasar malam menjadi tarikan pelancong.

Krabi dari dahulu hingga kini kekal sebagai bandar pertanian dan perikanan, boleh muncul sebagai antara destinasi pelancongan terkenal di wilayah selatan Thailand selepas Phuket.

Sekitar 50 tahun lalu, Krabi hanya dilingkari oleh hutan belantara dan hidupan liar, malah akses utama ke bandar tersebut adalah melalui jalan laut kerana belum ada jalan darat dibina pada waktu itu.

Semasa di Krabi, Srikandi Pakat turut berpeluang ke pulau serta bermain di pantai. Di pantai ini, pelancong kebiasaannya merakamkan pemandangan waktu senja dan matahari terbenam yang sungguh mempesona. Dari Krabi , pengunjung boleh ke Phi Phi Island, pulau yang terkenal dengan keaslian dan keindahan airnya yang berwarna kehijauan.

Dalam pada itu, penaung Srikandi Pakat yang juga pengasas Sweedskin, Datin Sri Siti Noor Asikin Muhammad telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama pengurusan Krabi Front Bay Resort. MoU itu membolehkan ahli Pakat medapat potongan harga 15 peratus untuk tambang antara hotel itu dan Lapangan Terbang Krabi serta diskaun 10 peratus bagi makan minum di Restoran Ao Nongnuch dan Restoran Pak Nam Seafood.

Ahli pakat hanya perlu kemukakan salinan kad pengenalan ketika buat tempahan bilik melalui online atau tunjukkan kad ahli semasa memesan makanan di dua restoran tersebut.