Edisi kedua festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Ke­senian Negara (JKKN) dengan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan diadakan dari 28 hingga 30 Oktober 2016, menjadi me­dan terbaik mengetengahkan kepelbagaian etnik dan budaya tempatan yang kaya dengan nilai-nilai tradisi masyarakat majmuk sebuah negara bangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, festival berkonsep persembahan seni dan budaya serta penonjolan produk masyarakat pribumi dan Orang Asli itu sebagai landasan mengetengahkan kepelbagaian etnik yang ada di Malaysia, selain mempromosi asimilasi kaum sebagai tunjang perpaduan masyarakat tempatan.

Katanya, selain menerima sambutan hangat peserta pada penganjuran edisi lalu, festival yang memaparkan tradisi seni dan budaya masyarakat itu turut berjaya menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara merangkumi pelbagai peringkat umur.

“Selain penyertaan etnik pribumi dan Orang Asli tem­patan seperti masyarakat Dusun, Bidayuh, Mahmeri, Temuan, Batiq dan Senoi Praq, festival ini turut berjaya menarik minat peserta luar negara termasuk etnik Chiang Mai dari Thailand; Cordillena (Filipina); Alang Bangkeh (Indonesia), selain Middle Inland (China) dan Kalaimani (India).

“Festival berbentuk him­punan aktiviti seni dan persembahan budaya, selain pameran serta jualan produk bahan semula jadi itu turut menyediakan ruang promosi interaktif bagi Malaysia sebagai lokasi percutian menarik, di sam­ping destinasi pelancongan budaya peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar Festival Antarabangsa Ke­senian Orang Asli dan Pribumi 2016 di Saloma Bistro di sini hari ini.