Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Norafizah Rahman, MAEPS bukan sahaja menjadi lokasi penganjuran pameran dan acara terbesar di Malaysia, malah menjadi pusat kegiatan dan aktiviti berasaskan pertanian.

“MAEPS mempunyai keluasan 130 hektar yang terbahagi kepada dua kawasan iaitu indoor dan outdoor.

“Selain menjadi tapak penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan pelbagai acara yang bertujuan mempromosikan industri pertanian, di sini juga terdapat lapan laman agro iaitu laman padi, laman sayur, laman herba, laman nanas, laman ternakan, laman perikanan, laman florikultur, dan pavillion negeri yang boleh dikunjungi.

“Pengunjung boleh menjelajah secara santai dan mendapat pelbagai maklumat berkaitan pertanian sepanjang berada di MAEPS Agro Tourism Park,” katanya.

Selain melawat laman, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi bersama rakan atau keluarga.

“Di sini, terdapat dua pusat ekuin iaitu Majlis Ekuin Malaysia dan Rubinga Heritage yang boleh dikunjungi mereka yang menggemari aktiviti menunggang kuda. Di pusat tersebut juga ada menawarkan kelas bagi mereka yang mahu mempelajari cara menunggang kuda.

“Jika mahu merasai keseronokan yang mencabar, bolehlah mencuba aktiviti di [email protected] dengan merasai pengalaman berada di dalam orbing ball bersaiz besar dan bergolek menuruni bukit.

“Pengunjung juga boleh menikmati aktiviti berjalan kaki atau berlari di sepanjang tasik, di samping menikmati pemandangan pokok di Palm Park dan herba di laman herba.

“Selain itu, MAEPS juga membuka Pasar Tani yang menjual pelbagai hasil pertanian segar dan produk berasaskan agro pada setiap hari Sabtu,” katanya.

Tidak hanya terhad kepada pelbagai jenis tanaman, di MAEPS juga terdapat taman haiwan iaitu G2G Animal Garden yang mempamerkan pelbagai jenis spesies haiwan.

Di taman ini, pengunjung diberi peluang memegang, memberi makan dan bergambar bersama haiwan-haiwan yang dijaga dengan rapi termasuk ular, iguana, rakun, arnab, kura-kura, pelbagai spesies burung dan ayam.

Berhampiran dengan taman tersebut, terdapat TeknoKafe Goat2Go Farm yang menyediakan sajian berasaskan kambing yang disembelih terus dari ladang. Di sini, tidak ada istilah daging disejuk beku. Semuanya segar dari ladang.

Pengunjung boleh melawat kandang kambing sebelum membuat pilihan yang mana satu hendak disembelih dan menikmatinya mengikut cita rasa menu masing-masing. Bagi mereka yang ingin mendapatkan bekalan kambing golek atau majlis aqiqah, bolehlah datang ke sini.

Selain itu, House of Kambing juga menyediakan sajian berasaskan kambing. Menariknya di sini, anda bukan sahaja dapat merasai kambing segar, malah dapat menyaksikan pemandangan indah ladang, bergambar dan bermain dengan kambing.

Tidak perlu pergi ke padang pasir kerana di ladang bersebelahan kafe itu juga terdapat unta berbonggol satu yang berasal dari Australia.

Bagi penggemar ikan sungai dan makanan laut, bolehlah singgah ke MAEPS Ikan Sungai & Seafood Restaurant. Di situ, hanya ikan segar ditawarkan untuk dinikmati.

Jika pengunjung mahukan kelainan suasana menikmati hidangan, laman padi ada menawarkan menu istimewa bagi mereka yang berminat merasai nasi bendang. Pakej yang ditawarkan hanya RM45 satu set untuk dua hingga tiga orang.

Di situ juga, anda boleh menikmati juadah sambil melihat pemandangan indah sawah padi.