Perbezaan yang tidak begitu ketara jika dilihat daripada kelompok masyarakat setempatnya dan juga bahasa yang digunakan menjadikan diri begitu selesa untuk ‘bergerak bebas’ tanpa rasa terasing.

Cuma yang membuatkan ‘tersedar’ daripada lamunan dan menyedari bahawa diri sedang berada di perantauan apabila tempat-tempat yang dilawati seakan membawa kita kembali ke masa lampau.

Bumi Macau yang pernah berada di bawah pemerintahan Portugis pada pertengahan abad ke-16 masih jelas kelihatan ‘pengaruhnya’ pada seni bina kota, seni, agama, tradisi, makanan, dan masyarakatnya.

Suasana ini secara tidak langsung membuatkan diri seperti berada di Portugis dan bukannya di wilayah yang majoriti penduduknya orang Cina.

Bagaimanapun, difahamkan segala peninggalan Portugis akan secara perlahan-lahan ditukarkan kepada pemerintahan China tetapi tidak dapat dinafikan kesemua tinggalan tersebut merupakan daya tarikan pelancong yang pastinya memberikan pulangan lumayan buat Macau.

Ia mendapat status Wilayah Pentadbiran Istimewa daripada kerajaan China apabila Portugis menyerahkannya kepada China pada 1999 dan ini secara tidak langsung mencerminkan integrasi budaya Cina, Barat, dan Portugis dalam kalangan masyarakat setempatnya.

Dengan berkeluasan hanya 30.5 kilometer persegi, tidak rugi sekiranya anda memilih Macau untuk dijadikan lokasi percutian anda sekeluarga.

Bukan sahaja ‘kaya’ dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati, Macau juga dilihat semakin memahami istilah pelancongan Muslim.

Ini dapat dilihat apabila semakin banyak restoran dan kafe menawarkan sajian halal kepada pelancong-pelancong Islam dengan pelbagai variasi masakan yang boleh dicuba.

Macau sememangnya sebaris nama yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat hari ini malah rata-rata akan membayangkan suasana hotel-hotel yang dilengkapi dengan kasino serta infrastruktur eksklusif selain deretan kedai yang menjual pelbagai barangan berjenama mewah antarabangsa.

Justeru, tidak hairanlah jika wilayah kecil yang didiami kira-kira 648,500 penduduk itu mendapat jolokan Little Las Vegas atau ‘Las Vegas Asia’.

Penerbangan yang mengambil masa hampir empat jam dari Kuala Lumpur akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau di Taipa.

Sebaik tiba, anda boleh membuat keputusan sama ada ingin menjamu selera atau terus sahaja ke pusat bandar Macau untuk melihat pusat-pusat pelancongan yang terdapat di situ.

Berjalan di sekitar pusat bandar Macau, mata pastinya tertumpu kepada deretan premis perniagaan yang menjual pelbagai barangan berjenama mewah antarabangsa, bahkan ada di antaranya tidak terdapat di Malaysia.

Kebanyakan hotel di Macau juga dilengkapi dengan pusat membeli-belah yang menjual barangan berjenama mewah dan sasarannya sudah tentu pengunjung berpendapatan tinggi.

Bagi golongan pertengahan, The Venetian Macau yang menempatkan hotel mungkin menjadi pilihan terbaik untuk membeli-belah memandangkan kebanyakan barangan yang ditawarkan adalah daripada jenama mampu milik.

Selain itu, di sini juga anda boleh merasai pengalaman menaiki gondola seperti di Venice, Itali, menyusuri sungai kecil buatan manusia sambil dihiburkan pendayung gondola dengan nyanyiannya.

Kepada mereka yang teringin mengabadikan gambar berlatar belakangkan Menara Eiffel pula tidak perlu bersusah payah ke Perancis kerana di The Parisian anda boleh berbuat demikian.

Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh ke beberapa pusat membeli-belah lain termasuk Senado Square yang menghimpunkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa.

Apa yang menariknya, bangunan di Senado Square ini menerapkan seni binaan Portugis yang sememangnya menarik minat pengunjung untuk mengabadikan kenangan dalam gambar.

Kunjungan ke Macau tidak lengkap jika tidak melawat beberapa tempat bersejarah seperti Ruins of St Paul’s, Taman Flora, Muzium Rumah Taipa, Muzium Seni Macao, Dataran Lotus, dan juga Mooris Barrack, bangunan-bangunan era pentadbiran Portugis.

Bagi mereka yang mahukan pengalaman ekstrem, jangan lepaskan peluang untuk melakukan terjunan bungee atau sky walk dari dek pemerhati Menara Macau.

Di Studio City juga anda juga boleh mencuba golden reel, roda feri angka 8 tertinggi di dunia, dengan ketinggian 130 meter di udara yang membolehkan anda melihat pemandangan sekitar.

Lagi satu keunikan Macau yang boleh dilihat ialah kebanyakan papan tanda jalan menggunakan gabungan dua bahasa iaitu bahasa Cina dan Portugis kerana kedua-duanya merupakan bahasa rasmi di sana.

Tidak sempurna kunjungan anda ke kota dua pertembungan budaya itu jika tidak merasai keenakan tat telur yang boleh dibeli di Cunha Street atau pun di Coloane Town Square.

Dengan adanya tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di Macau, ditambah pula semakin banyak syarikat pelancongan menawarkan pakej-pakej Muslim untuk pelancong-pelancong yang beragama Islam, kini anda berpeluang untuk ‘meneroka’ Macau tanpa sebarang alasan.

Untuk itu, kepada mereka yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelancongan di Macau bolehlah layari laman sesawang www.macautourism.gov.mo.

KUNJUNGAN 
ke Macau tidak lengkap jika tidak melawat beberapa bangunan bersejarah era pentadbiran 
Portugis.