Pengunjung boleh bersantai dan mandi-manda sambil menikmati kicauan burung dan unggas daripada pelbagai spesies yang dapat menenangkan fikiran, sekali gus melupakan seketika urusan harian.

Kehadiran pokok dan aliran air terjun di celah batu berusia jutaan tahun menambah variasi keunikan Taman Rimba Lubuk Yu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Maran atau 100 kilometer dari Kuantan.

Lubuk Yu yang diberi nama berikutan kesan air terjun dari Gunung Berantai berbentuk U juga mempunyai beberapa kawasan seakan-akan kolam dengan kedinginan air menjadikannya kawasan rekreasi yang mendamaikan minda.

Untuk ke sana, pengunjung boleh melalui Jalan Maran-Jerantut atau Jalan Bandar Jengka-Felda Hulu Jempol.

Terletak di dalam Hutan Simpan Berkelah di kaki Gunung Berantai, hutan lipur itu yang kaya dengan pelbagai khazanah alam kini dipromosikan sebagai destinasi ekopelancongan untuk pengunjung beristirahat di dalam buaian atau hammock.

Program itu menawarkan satu pengalaman menarik khususnya kepada pencinta alam dan diyakini mampu menjadi daya tarikan baharu pelancong ke hutan lipur tersebut.

Ketua Kampung Felda Hulu Jempol, Idris Shah Musa berkata, Taman Rimba Lubuk Yu bukan sahaja sesuai untuk pengunjung mandi-manda, malah mereka boleh melakukan aktiviti lasak seperti mendaki Gunung Berantai.

“Taman rimba ini dipulihara oleh Jabatan Perhutanan Pahang. Banyak kemudahan seperti tempat berehat, papan tanda, surau, tong sampah dan tandas disediakan.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Daerah Maran sering mengadakan gotong-royong membersihkan persekitarannya,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurut Idris, kekayaan flora dan fauna memberikan kekuatan kepada Lubuk Yu untuk menjadi pilihan orang ramai beriadah dan berkunjung ke situ.

Katanya, keindahan Taman Rimba Lubuk Yu perlu dipromosikan dengan lebih giat sebagai destinasi ekopelancongan agar mendapat tempat di hati pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Antaranya promosi beristirehat di dalam hammock sambil menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan ini perlu diperhebat,” katanya.