Maka tidak hairanlah Lembah Enggang yang terletak berdekatan Taman Negara di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang menjadi tumpuan penggemar burung liar untuk ‘meneropong’ pelbagai spesies unggas berterbangan dan bertenggek di dahan pokok di hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun itu.

Lembah Enggang merupakan kawasan yang diperkenalkan oleh Persatuan Pencinta Burung Taman Negara (TNBG) dengan menganjurkan program Taman Negara Bird Count (TNBC) bermula 2014, melibatkan penyertaan peminat burung liar domestik dan antarabangsa.

Usaha berkenaan bertujuan mengembangkan ekspedisi atau pengembaraan yang memfokuskan kepada aktiviti memerhati burung liar tempatan. Ia melibatkan kerjasama semua pemain sektor pelancongan tempatan berasaskan Community Based Tourism (CBeT) yang terbukti berjaya dilakukan di beberapa buah negara.

Program Memerhati Burung di Lembah Enggang yang terletak antara Kuala Tahan dengan Kampung Pagi merupakan pengisian bidang ekopelancongan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang dan TNBG.

Menerusi kajian dan pemerhatian ahli TNBG, sehingga kini terdapat kira-kira 350 spesies burung liar di Lembah Enggang yang meliputi 85 jenis keluarga unggas berkenaan.

Burung liar itu juga terdiri daripada spesies yang hanya ditemukan di satu tempat sahaja, selain burung hijrah dari negara utara Benua Asia yang singgah di hutan tropika itu.

Pengunjung dan peminat burung boleh ke Lembah Enggang dengan berkenderaan dari bandar Jerantut dan Kuala Tahan sehingga ke Kampung Pagi, Hulu Tembeling sama ada menerusi pakej atau persendirian.

Pemandu pelancong dari TNBG akan membantu peminat atau pengunjung menyediakan peralatan seperti binokular, buku rujukan dan panduan tentang asas pengenalan kepada aktiviti memerhati burung.

Pengerusi TNBG, Roslan Abu Kassim, 53, berkata, aktiviti memerhati burung liar atau TNBC baharu diperkenalkan di Lembah Enggang yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat burung seluruh dunia.

Katanya, penganjuran TNBC lebih memfokuskan kepada penglibatan semua pengusaha pelancongan tempatan dan pemilik calet yang terbukti berjaya dilakukan di beberapa negara lain di Asia serta Eropah.

“Kami mempromosikan Lembah Enggang sebagai lokasi TNBC di negara ini berasaskan pengalaman pengusaha pelancongan Taman Negara yang menyertai Festival Burung Antarabangsa di Rutland, England.

“Pengalaman mempromosikan kegiatan ekopelancongan berasaskan ‘bird count’ di Kuala Tahan kepada pelancong Eropah memberi maklumat yang berguna untuk kita menjayakan penganjuran TNBC setiap tahun,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha TNBG, Sabri Abdullah, 42, berkata, aktiviti memerhati burung memberi ketenangan dan keseronokan kepada pengunjung yang melihat unggas itu bertenggek di atas pokok atau ketika sedang terbang.

Apatah lagi, katanya, jika mereka dapat merakam gambar sebagai dokumentasi atau bagi tujuan komersial.

“Kebiasaannya, aktiviti memerhati burung diadakan selama tiga hari, meliputi program ceramah teknik memerhati burung, asas fotografi dan sesi kegiatan luaryang dikendalikan oleh pakar dari universiti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.