Latihan pertama telah diadakan di Gunung Irau pada November 2016 dan kedua di Bukit Kutu (Januari 2017).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Nazili Mahmood berkata, seramai 125 peserta media, bomba, jururawat dan doktor dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) serta Shell Port Dickson menyertainya.

Menurutnya, latihan ini membentuk kerjasama berpasukan, menguji semangat setiakawan dan ketahanan fizikal peserta. Katanya, kerjaya bomba dan media bukan sahaja mencabar, malah memerlukan ketahanan diri yang lasak untuk memenuhi tuntutan kerja.

“Latihan ini penting kerana bomba dan media perlu cergas dalam menjalankan tugasan harian yang cukup mencabar, selain sering berhadapan dengan pelbagai situasi,” katanya kepada S2.

Turut menyertai pendakian ini ialah Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah JBPM Sarawak, Nor Hisham Mohammad; Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM), Kuala Kubu Bharu, Saadon Moktar; Komandan ABPM Wakaf Tapai, Abdul Razak Muda, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Hoshas, Dr. Eshamsol Kamar dan Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin.

Pendakian bermula tepat pukul 9.50 pagi dari Taman Hutan Legenda di Sagil, Johor.

Terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuh. Awal pendakian, kami mendaki beratus-ratus anak tangga. Agak semput juga melayannya, tetapi bagus untuk latihan kerana kami dimaklumkan terdapat beribu-ribu anak tangga akan didaki semasa di ABC kelak.

Dari anak tangga sehingga ke check point (CP) KFC, laluan tidak sukar. Kami mendaki mengikut kelajuan masing-masing dan berehat mengikut masa sendiri.

Setibanya di KFC, laluan semakin tegak dan curam. Kami menempuhnya dengan penuh berhati-hati. Di beberapa tempat, kecerunan tebing mencecah hampir 80 darjah. Bagi memudahkan pendakian, tangga disediakan di kawasan bertebing. Namun, tempat yang paling gayat adalah ketika mendaki batu hampar dengan menggunakan tali.

Di situ, anggota bomba ditugaskan menjaga keselamatan pendaki. Jarak yang ditempuh sekitar 60 meter. Terdapat empat tali disediakan. Kesukaran mendaki batu hampar berbayar apabila kami dihidangkan dengan pemandangan bonsai yang meredupi sekeliling. Peluang bergambar tidak dilepaskan kerana mungkin ini kali pertama dan terakhir pendaki tiba di situ.

Dari bonsai ke puncak, kami melepasi CP Bukit Botak dan dari situ, pendakian ke puncak tidak jauh. Penulis bersama beberapa pendaki tiba di puncak Gunung Ledang tepat pukul 5.32 petang. Selepas sesi bergambar, kami turun ke pencawang untuk berehat dan menikmati hidangan istimewa yang disediakan oleh anggota bomba yang ditugaskan di bahagian logistik.

Latihan berakhir di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil. Pastinya, tarikh 24 April ini tidak sabar dinanti kerana itulah tarikh keramat bagi permulaan Cabaran Annapurna Media dan Bomba Malaysia 2017.