Dianjurkan buat tahun kelima, acara kali ini berjaya menarik lebih ramai penyertaan termasuk peserta dari luar negara yang mendambakan pengalaman larian dalam trek yang lebih mencabar.

Pada penganjuran kali ini, peserta diuji dengan trek larian mesra alam sejauh 13 kilometer (km) yang bukan sahaja berbukit malah, berlopak.

Pengerusi Eksekutif Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn. Bhd., Datuk Malek Noor ketika ditemui memberitahu, pihaknya menerima maklum balas cukup memberangsangkan terhadap penyertaan pada kali ini.

“Penggemar acara maraton dilihat meningkat saban tahun dan ia memberi kesan terhadap penyertaan Deuter International Trail Run 2017. Tahun ini, jumlahnya meningkat mendadak berbanding tahun lalu yang hanya disertai 2, 000 pelari.

“Diharapkan penganjuran dapat dilaksanakan secara lebih besar pada tahun hadapan bagi memberi peluang lebih ramai peserta dalam dan luar negara menyertai acara ini,” katanya.

Batu Arang semestinya lokasi tepat untuk acara maraton. Bentuk muka buminya yang diliputi kehijauan alam, di samping kawasan berbukit menjadi satu bentuk tarikan yang mencabar kebolehan ‘kaki lari’ yang menyertai acara ini.

Bukan itu sahaja, sejarahnya sebagai bandar perlombongan yang cukup gah sekitar tahun 1960 menjadikan Batu Arang pilihan paling sesuai untuk acara besar yang mampu mempromosikannya bagi tujuan pelancongan.

Dengan keunikan itu, Malek mencadangkan agar Deuter International Trail Run pada masa akan datang dianjurkan dengan skala lebih besar yang mana turut melibatkan penyertaan penduduk setempat.

“Mungkin pada tahun depan, penganjuran Deuter International Trail Run lebih terbuka dengan aktiviti sampingan seperti sukaneka, senam robik dan banyak lagi,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Zuriati Azrena Zainunakhsan, 37, menjadikan Deuter International Trail Run 2017 sebagai cubaan pertamanya dalam acara maraton. Katanya, acara itu cukup mencabar kebolehan fizikal dan mentalnya.

“Cuaca panas merupakan antara cabaran paling ketara dalam larian ini. Ditambah pula dengan trek larian yang berbukit menjadikan Deuter International Trail Run 2017 cukup sukar,” ujarnya.

Sementara itu, Seline Tay, 18, yang konsisten menyertai maraton memberitahu ini kali pertama dia menempuh trek larian di Batu Arang. Katanya, dia berpuas hati kerana trek laluan yang di kawasan itu selamat untuk aktiviti larian.

“Sebagai penggemar trail run, acara ini antara yang paling mencabar kerana selain menempuh kawasan berair, peserta juga diuji dengan pendakian bukit yang bagi saya cukup sukar,” jelasnya.