Lebih unik muzium itu menyalurkan maklumat pendidikan interaktif tiga dimensi (3D) dan menampilkan keunikan budaya yang terdapat di negeri ini.

Menurut Penyelia Muzium The Borneo House, Chai Mingtze, muzium tersebut mula dibuka pada 20 November tahun lalu.

Katanya, lebih 10,000 orang telah berkunjung ke situ bagi melihat keistimewaan muzium berinteraktif itu.

“Muzium dengan keluasan 1,161.28 meter persegi (m) ini akan membawa pengunjung melihat keindahan alam, kebudayaan dan warisan di Borneo, khususnya Sarawak menerusi pameran interaktif.

“Buat masa ini, terdapat empat zon iaitu alam semula jadi Sarawak, Sarawak Lama, Sarawak Kini dan Makanan Ikonik,” katanya kepada S2.

Tambahnya, kesemua hasil seni yang terdapat di situ merupakan usaha sama artis tempatan yang dipilih kerana mempunyai potensi besar dan berbakat.

“Setiap satu hasil seni dipamerkan memberi maklumat yang terperinci.

“Contohnya di ruang Zon Sarawak Lama, terdapat pejabat Raja Ketiga dan terakhir, Sir Charles Vyner Brooke dengan meja, mesin taip dan telefon antik pada zaman itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, muzium itu dibuka setiap hari termasuk cuti umum bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

“Kita juga menyediakan perkhidmatan guide yang boleh berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin bagi membantu pengunjung sepanjang melawat muzium ini.

“Mereka boleh mengambil masa sendiri, mengambil gambar kenang-kenangan dengan aksi menarik, mencuba pakaian tradisional dan lain-lain,” ujarnya.

Menurut Mingtze, pihaknya turut memberi diskaun hingga 20 peratus kepada mereka yang membuat tempahan dan datang berkumpulan, melebihi 10 orang.

“Selain itu, pihak kita juga menjual buku-buku sejarah Borneo dan Sarawak yang boleh didapati di pintu masuk,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Hii Kiing Chiong, 41, berkata, dia bersama keluarga datang dari Sibu bagi melihat sendiri keunikan muzium itu.

“Muzium ini tambah menarik dengan lukisan 3D dan model makanan tempatan. Saya harap lebih banyak lagi zon baharu dapat dibuka agar bahan-bahan untuk dipamerkan kepada pengunjung ditambah,” ujarnya.

Bayaran masuk warga asing dewasa adalah RM29 seorang, manakala kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun, pelajar serta warga emas (60 tahun ke atas), bayarannya ialah RM25.

Bayaran masuk untuk warga tempatan dewasa pula ialah RM19, manakala kanak-kanak berusia tiga hingga 12, pelajar dan warga emas, RM15 sahaja.