Kami mengunjungi provinsi Sichuan bersama-sama wartawan CRI. Aktiviti ini mendapat sokongan kuat daripada Kedutaan China di Malaysia dan Jabatan Pentadbiran Pelancongan Negara China.

Setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sichuan, panorama yang dapat dilihat di merata-rata tempat ialah beruang gergasi panda.

Melihat telatah anak-anak panda yang dimanjakan induknya di Pusat Konservasi Panda, Sichuan memang menyeronokkan. Pelancong dalam dan luar China pun terhibur melihat gelagat panda yang makan sambil berbaring, memancat pokok dan ke sana sini entah mencari sesuatu.

Panda yang tidak peduli pelancong yang melihatnya mengingat saya pada panda yang dipinjamkan oleh kerajaan China kepada Malaysia. Dua ekor panda gergasi yang diberi nama Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) yang dipinjamkan kepada Malaysia dinamakan semula oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan nama Liang Liang (betina) dan Xing Xing (jantan).

Kedua-dua panda itu dipinjamkan oleh Kerajaan China kepada Malaysia selama 10 tahun bagi menandakan hubungan akrab 40 tahun kedua-dua negara. Pada 18 Ogos 2015, pada pukul 1.45 tengah hari waktu Malaysia, Liang Liang (panda betina) melahirkan seekor anak panda betina.

China telah lama menggunakan pendekatan “Diplomasi Panda” sebagai simbolik hubungan persahabatan antara China dan negara-negara yang mempunyai hubungan akrab dengannya. Malaysia juga rasa bertuah melalui dasar ini.

Keunikan Opera Sichuan

Terpukau! Itulah pandangan saya pada babak akhir persembahan teater Opera Sichuan yang terkenal itu. Bagaimana pantas teknik yang digunakan untuk menukar topeng bersilih ganti dengan warna dan corak yang berlainan. Pasti ada caranya... Tetapi persoalannya bagaimana? Itu pertunjukan silap mata atau opera China?

Tontonan pada malam Selasa (9 Mei 2017) bukan pertama kali saya menonton opera China. Ini kali ketiga. Pertama kali di Beijing pada 2007, kali kedua di Shanzen pada 2013. Teater di Sichuan jauh berbeza.

Teater Opera Sichuan turut menampilkan seni kebudayaan China dan persembahan akrobatik seperti teater opera China yang lain. Namun keistimewaan Opera Sichuan terletak pada kepantasan pertukaran topeng pelbagai wajah pada muka pelakonnya. Bukan seorang tapi dilakukan juga oleh beberapa pelakon lain.

Menikmati Salji

Berada dalam kawasan pergunungan dengan oksigen yang kurang bukan halangan kepada saya untuk menikmati salji di puncak gunung daerah Jiangyuan yang ketinggiannya lebih 4,000 meter dari aras laut.

Perasaan saya bertambah teruja apabila pulang selepas melawat Kolam Lima Warna di Taman Negara Huang Long. Kepenatan melangkahkan kaki lebih enam kilometer (km) mendaki dan menuruni Gunung Minshen rasa terubat apabila kejayaan sampai ke lokasi terindah di China itu bagai dirai dengan berguguran hujan salji.

Kerajaan China begitu mengambil berat kawasan taman negaranya. Untuk sampai ke Kolam Lima Warna Huang Long perlu berjalan kaki dengan jarak yang begitu jauh.

Jawapan kenapa perlu berbuat demikian terjawab apabila saya berjalan kaki untuk ke pintu masuk Taman Negara Jiuzhaigou. Terdetik dalam fikiran saya kenapa kerajaan China ‘memaksa’ pelancong berjalan jauh dari tempat letak bas.

Rupa-rupanya kehadiran pelancong tempatan sebanyak empat juta orang setahun atau purata 11,000 orang sehari itu, memaksa peraturan itu perlu dilakukan untuk mengelak kesesakan.

Satu perkara lagi pada pengamatan saya, soal kebersihan kawasan taman juga dijaga rapi oleh petugas yang tidak henti-henti mengutip sampah yang dibuang oleh ribuan pelancong.

Keindahan Kolam Lima Warna di Huang Long dan Tasik Lima Warna di Taman Negara Jiuzhaigou tidak terdapat di mana-mana di dunia. Maka keindahan alam semula jadi itu wajib dipelihara.

Pengajaran Lawatan

Perjalanan pengembaraan saya dalam siri Lawatan Laluan Sutera 2017 di Provinsi Sichuan memberi banyak kenangan dan pengalaman indah. Antara pengajaran yang dapat saya lontar dalam cacatan pendek ini ialah:

1. Teknologi Lama Masih Digunakan

Projek perairan Duajiangyan yang sudah berusia lebih dua ribu tahun itu masih memberi khidmat kepada warga Sichuan. Maknanya teknologi lama jangan terus diubah.

2. Terokai Suasana Lampau

Menyusuri Jalan Jinli dan Jalan Lebar dan Sempit di kota Chendu mengimbau bayangan pada zaman dinasti lampau. Reka bentuk bangunan lama dan pameran kraf tangan dan budaya tradisi terus dipertahankan daripada ancaman pemodenan.

3. Pengekalan Persembahan Opera dan Teater

Walaupun sudah lama tetapi dengan unsur yang baharu dalam persembahan Opera Sichuan yang topengnya bertukar dengan pelbagai corak menyebabkan ia terus diminati. Begitu juga persembahan teater muzikal bercirikan muzik tradisional Tibet terus ditonton dan mesej bencana gempa bumi di Sichuan sembilan tahun lalu membekaskan kesan di hati penonton.

4Pemeliharaan Haiwan Daripada Pupus

Haiwan yang hampir pupus iaitu beruang panda gergasi dijaga dengan baik di Pusat Konservasi Panda Sichuan. Di samping pengawalan pembiakannya, ia dapat menarik kesedaran orang ramai yang datang melawatnya.

5. Kaedah Penjagaan Taman Negara

Taman Negara Huang Long dengan keunikan Kolam Lima Warna dan Taman Negara Jiuzhaigou dengan keindahan panorama beberapa Tasik Lima Warna dan air terjunnya dijaga rapi daripada pencemaran. Tiada kenderaan luar dibenar masuk ke kawasan larangan itu.

6. Etnik Minoriti Dibantu

Masyarakat Tibet, penduduk beragama Islam dan etnik minoriti lain tidak disisih daripada pembangunan ekonomi.

7. Menyihatkan Badan

Sungguh menyihatkan walaupun keletihan. Bayangkan dalam sehari memerlukan kami membuat lebih 10,000 langkah. Tiada tempat yang apabila turun bas sahaja kita sudah sampai ke pintu masuk tempat yang dituju. Banyak kerahan tenaga diperlukan sebelum sampai ke lokasi yang menakjubkan.