Kesempatan menyertai program lawatan ke Zon Sedili sempena Karnival Pelancongan Desa anjuran Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dengan kerjasama Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) baru-baru ini memberi pengalaman yang sangat membuka mata penulis.

Mengunjungi Tanjung Sedili bukan sekadar melancong semata-mata tetapi pengisiannya lebih penting iaitu memberi pendedahan tentang kepentingan ekosistem tanah lembap (wetland), hutan paya bakau, sungai dan penghayatan alam sekitar.

Lokasinya terletak di muara Sungai Sedili di pinggir Laut China Selatan dan terbahagi kepada tiga kawasan utama iaitu Tanjung Sedili, Sedili Besar dan Sedili Kecil.

Wetland Kampung Belukar Durian, Sedili Kecil adalah lokasi pertama kunjungan kami yang terletak di daerah Kota Tinggi iaitu tanah kelahiran Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang,

Ketibaan kami pada malam itu disambut dengan penuh kemesraan dan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan tarian zapin, kuda kepang dan ghazal yang disampaikan oleh generasi muda penduduk tempatan di situ.

Keesokannya kami menikmati pemandangan indah persekitaran hutan paya bakau yang terletak di Sungai Sedili Kecil. Mempunyai nilai tinggi dari segi ekologi dan biodiversiti, hutan paya bakau itu sememangnya menjadi khazanah yang sangat penting dalam ekosistem.

Tidak hanya untuk penduduk atau masyarakat yang tinggal di sekitarnya, malah hutan paya bakau menjadi habitat pelbagai jenis spesies ikan, ketam dan udang serta organism bentik.

Selepas itu, kami dibawa menaiki bot menyelusuri Sungai Sedili kecil menuju ke Pusat Ternakan dan Penetasan Belangkas. Sepanjang perjalanan, sempat juga kami mencuci mata menikmati pemandangan indah pokok-pokok paya bakau dan deretan rumah di pesisiran sungai.

Setibanya di lokasi tersebut, pengusaha belangkas, Khairul Idham menerangkan kepada kami tentang perusahaan yang dijalankannya. Uniknya di sini mereka tidak menjual belangkas yang dibiak sendiri, sebaliknya melepaskannya ke pantai dalam usaha memastikan spesies itu tidak pupus.

“Memandangkan belangkas mengambil masa antara 10 hingga 14 tahun untuk mencapai usia matang, kami hanya membeli belangkas dewasa daripada nelayan dan mengeksportnya ke Thailand. Sementara belangkas yang dibiak pula akan dilepaskan ke pantai bagi memastikan spesies itu tidak pupus,” jelas Khairul.

Selain bahagian telurnya menjadi buruan penggemar makanan eksotik, manfaat dan khasiat darah biru belangkas turut jadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi dalam industri farmaseutikal.

Kami turut diberi peluang merasai keunikan sajian eksotik belangkas yang dimasak dengan sambal pedas. Berbanding isinya, kami lebih menikmati bahagian telur belangkas yang berwarna kekuningan serta rasa lemak dan masin sedikit.

Sebelah petangnya, kami dibawa menyertai aktiviti ‘pesta berkarang’ di Pantai Manis, Tanjung Sedili. Peserta diberi peluang merasai sendiri pengalaman mencari kerang, kepah dan remis menggunakan peralatan tradisional seperti tempurung kelapa.

Ia sesuatu yang baharu buat penulis, namun kesempatan menyertainya memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Memburu spesies kerang yang tersembunyi di pasir laut ternyata agak sukar dan sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi.

Bayangkan kita perlu meredah tanah yang lembut dan berair, di samping bau yang kurang menyenangkan. Kasut getah yang digunakan ada masanya terperangkap di dalam selut. Nak menariknya pula memerlukan kekuatan tenaga.

Lebih sejam pencarian, hanya tiga ekor sahaja diperoleh. Terasa hasil yang begitu sedikit tidak sepadan dengan kesukaran mencarinya.

Pengalaman ini sedikit sebanyak mengingatkan penulis, jangan mengeluh kalau spesies kerang itu tinggi harganya, kerana mencarinya sangatlah sukar, jauh daripada apa yang dibayangkan.

Pada hari terakhir, kami di bawa mengunjungi Bengkel Kraftangan Siput Nelayan Sedili yang menjadi pusat penjualan kraf tangan daripada hasil laut seperti cengkerang siput dan sisik ikan.

Dijalankan sejak 1990-an, produk yang dihasilkan oleh penduduk tempatan itu mendapat sambutan, bukan hanya daripada pengunjung tempatan, malah pelancong luar negara.

Antara produk yang dihasilkan termasuk rantai, gelang, kerongsang, gubahan, hiasan meja, hiasan cermin dan hiasan dinding.