Tambahan pula, bandar dikenali dengan Kota Merah Jambu India ini tersimpan 1001 cerita yang mungkin tidak pernah dengar sebelum ini. Penulis berkesempatan mengunjungi bandar itu pada 5 hingga 9 Februari lalu atas jemputan AirAsia X Malaysia sempena penerbangan sulung ke sana.

Tambahan pula, ini adalah pengalaman kali pertama penulis ke India, jadi ia merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan sama sekali. Seramai 17 peserta menyertai kunjungan ke Jaipur termasuklah 11 pengamal media dari Malaysia dan Indonesia.

Ketibaan pesawat Airbus 330-300s dengan nombor penerbangan D7 184 di Lapangan Terbang Antarabangsa Jaipur pada pukul 10.30 malam waktu tempatan disambut tembakan meriam air sebagai simbolik kejayaan penerbangan sulung syarikat berkenaan di Jaipur.

Jaipur merupakan ibu negeri Rajasthan, utara India dan terletak dalam kawasan Segi Tiga Emas antara New Delhi serta Agra. Bandar tersebut terletak kira-kira 250 kilometer dari New Delhi dan menjadi pintu masuk kepada destinasi pelancongan lain di Rajasthan seperti Jodhpur dan Jaisalmer.

Menurut catatan sejarah, Jaipur diasaskan Maharaja Jai Singh II, pemerintah Kerajaan Amer pada 18 November 1727. Seluruh bangunan Jaipur diwarnakan dengan warna merah jambu oleh Maharaja Man Singh II apabila Putera Wales, Edward VII melawat bandar tersebut pada 1876.

Sehingga kini, satu undang-undang dikuatkuasakan supaya warna bangunan-bangunan ini dikekalkan, sesuai dengan jolokannya.

Penulis di bawa ke salah satu tempat membeli-belah paling popular pada hari kedua di Jaipur iaitu Sireh Deori Bazaar. Antara barangan yang menjadi pilihan para pelancong di sini ialah kain saree, pashmina dan kasut kulit.

Tip daripada penulis, sekiranya anda berkunjung ke Sireh Deori Bazaar, jangan segan silu untuk tawar-menawar kerana penulis sendiri dapat membeli sehelai kain saree berharga kira-kira 1,000 rupee (RM61) sahaja.

Selepas itu, kami mengunjungi Restoran Choki Dhani, yang bertemakan suasana perkampungan di Rajasthan.

Di sini, pelbagai persembahan, permainan dan banyak lagi aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung seperti pertunjukan silap mata, kedai kraftangan dan sebagainya.

Menurut salah seorang pegawai di tempat berkenaan, Choki Dhani merupakan destinasi utama yang perlu dikunjungi oleh para pelancong sekiranya mereka mahu merasai dan melihat sendiri keunikan penduduk Rajasthan.

Hari ketiga di India, kami dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di Jaipur seperti City Palace, Jantar Mantar, Hawa Mahal dan Amer Fort. Jantar Mantar dan Amer Fort merupakan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Bangunan Hawa Mahal yang dilengkapi dengan 953 tingkap kecil merupakan monumen ikonik di Jaipur dan menjadi pilihan para pelancong untuk merakamkan kenangan di situ.

Di Amer Fort, penulis disajikan dengan persembahan cahaya dan bunyi di sekitar kubu yang terdapat di situ mengenai sejarah Rajasthan bermula pukul 6.30 petang.

Bertemankan kegelapan waktu senja, kubu-kubu berkenaan disinari dengan pelbagai cahaya ketika narator menceritakan mengenai sejarah Rajasthan.

Pada hari keempat di India, penulis berpeluang menaiki belon udara panas di perkampungan Samode seawal pukul 6 pagi. Suhu ketika itu mencecah 11 darjah Celcius. Sejujurnya, ini merupakan pengalaman kali pertama buat penulis menaiki belon udara panas.

Penulis berpeluang melihat Amer Fort dan matahari terbit pada ketinggian 3,000 kaki di udara selama satu jam. Bagi mereka yang berminat untuk merasai pengalaman tersebut, tiket berharga AS$250 (RM989) untuk seorang dan jangan khuatir, penulis pasti anda akan berpuas hati selepas mencubanya.

Dari Samode, kami kemudiannya melawat Nahargarh Fort yang turut mempunyai Muzium Patung Lilin dan Taman Ukiran. Di Muzium Patung Lilin, pelbagai replika patung tokoh-tokoh terkemuka dunia ditempatkan, antaranya ialah Albert Einstein; pemain kriket India, Sachin Tendulkar, Jackie Chan dan Lionel Messi.

Kami juga berpeluang mengunjungi Sheesh Mahal yang merupakan istana cermin pertama di dunia. Ruangan dalaman Sheesh Mahal dilengkapi dengan pelbagai jenis cermin berkualiti tinggi yang memperlihatkan kemewahan istana ketika di zaman Dinasti Rajputana.

Pada hari terakhir kami di India, rombongan media dibawa menyusuri perjalanan sejauh 95 kilometer dari bandar Jaipur untuk melihat sendiri keunikan telaga purba berusia 1,200 tahun dikenali sebagai Chand Baori. Chand Baori terletak bertentangan dengan Kuil Harshat Mata di Kampung Abhaneri.

Dianggap sebagai salah satu telaga paling dalam di India dengan kedalaman mencecah 30 meter, Chand Baori turut berperanan membekalkan air kepada penduduk kampung ketika musim kemarau pada 1,200 tahun dahulu.

Namun kini ia tidak berfungsi lagi selepas tiada lagi musim hujan berlaku di kawasan berkenaan. Uniknya mengenai Chand Baori ialah ia mempunyai 3,500 anak tangga di setiap sisinya.

Berdasarkan pengalaman penulis selama lima hari di Jaipur, bandar ini mempunyai keunikan sejarah yang sungguh menarik, ditambah dengan unsur-unsur agama Islam dan Hindu pada seni bina serta budayanya.

Malahan, penduduknya juga sangat ramah serta mudah berkomunikasi dengan mereka ketika disapa oleh penulis.

Bagi mereka yang mahu melihat keindahan peninggalan kerajaan lama Rajasthan, Jaipur adalah tempat yang sesuai untuk anda.

Tidak hairanlah jika filem-filem Bollywood seperti Jodhaa Akbar dan Bajirao Mastani menjadikan Jaipur sebagai latar belakang tempat dalam penceritaan mereka.