Mungkin bagi sebuah pusat peranginan, mempunyai pemandangan pantai dan laut kebiruan adalah perkara biasa. Namun di Ombak Villa, pantai dan laut bukan sekadar pemandangan.

Ia ada pelengkap kepada ‘santapan’ mata sepanjang berada di pusat peranginan yang terletak kira-kira tiga kilometer atau lima minit perjalanan menaiki kereta dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Kelebihan alam semula jadi itu kemudiannya digabung dengan susun atur landskap menarik dan keindahan reka bentuk bangunan berasaskan konsep Melayu kontemporari, melengkapkan keindahan pemandangan yang mampu memberikan ketenangan sepanjang masa.

Tidak keterlaluan dikatakan, berada dalam persekitaran Ombak Villa seolah-olah berada di dunia berlainan.

Dipagari Laut Andaman dan banjaran Gunung Mat Chinchang, segala kekusutan dan hiruk-pikuk dunia seolah-olah berjaya ditinggalkan di luar sebaik melangkah masuk ke Ombak Villa.

Itu belum lagi jika bercerita soal bilik. Mewah, moden, luas dan lebih penting semuanya menghadap Laut Andaman.

Buka pintu balkoni, anda boleh merasai sepoi-sepoi angin laut sambil berehat di atas katil empuk. Pemandangan usah cerita. Datang dan alami sendiri ketenangannya.

Soal makan pula usah risau. Terdapat tujuh restoran yang boleh dikunjungi tetamu Ombak Villa. Jika inginkan santapan di tepi laut boleh memilih Amai Bistro. Pakej steamboat wajar dipertimbangkan.

Restoran lain ialah, Al Shallal (makanan Arab) Mentari Lounge. The Veranda, Ombak Bite dan paling utama Restoran Bayu yang terletak bersebelahan kolam renang dewasa dan kanak-kanak.

Rehat tanpa bersenam bukan pilihan yang bijak. Justeru rebut peluang berada di Ombak Villa untuk beriadah dalam suasana penuh selesa dan keindahan semula jadi.

Trek jogging paling sesuai dimanfaatkan pada pagi dan petang. Jika bertuah, dapat menyaksikan matahari terbenam yang mengasyikkan.

Sebenarnya, ada banyak lagi kemudahan rekreasi seperti gimnasium, padang pasir yang sesuai untuk bola pantai dan bola tampar pantai untuk dimanfaatkan tetamu.

Malah, jika ingin melakukan aktiviti sampingan seperti memancing, pihak resort sedia membantu. Jika malas mahu sewa kereta, usah bimbang kerana perkhidmatan teksi 24 jam.

Yang pasti pengalaman indah dengan layanan serta fasiliti kelas pertama bermula sebaik tiba sehingga anda meninggalkan Ombak Villa.

Sementara itu, menurut Pengurus Resort, Badrul Hisham Ishak, sejak dibuka 2013, Ombak Villa sentiasa melakukan perubahan dari semasa ke semasa bagi memastikan resort itu terus segar demi kepuasan pelanggan.

“Pengalaman-pengalaman tetamu juga selalu kami pantau bagi membolehkan usaha penambahbaikan dilakukan, ini termasuk pengalaman pada saat ketibaan, di bilik serta tempat dan kualiti dan variasi makanan.

“Kami mahu menjadikan Ombak Villa pilihan utama penginapan bagi pengunjung ke pulau Langkawi,” katanya sambil menambah resort itu juga berkemampuan menganjurkan percutian korporat membabitkan jumlah besar.

“Kami pernah mengendalikan sehingga 400 orang dalam satu kumpulan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti di resort ini,” katanya.