Penulis bersama beberapa rakan membuat perancangan dan bersiap sedia bagi menawan puncak Gunung Santubong itu.

Perjalanan kami bermula kira-kira pukul 7.30 pagi dari laluan Bukit Putri yang jaraknya 6.5 kilometer dalam keadaan cuaca yang baik.

Bagaimanapun, belum sampai separuh perjalanan dua rakan penulis hampir berputus asa ekoran kepenatan ditambah keadaan pendakian yang semakin curam.

Perjalanan kami mengambil masa kira-kira satu jam bergantung kepada tahap kecergasan serta kekuatan masing-masing ke checkpoint F7 yang merupakan simpang laluan dari pusat informasi dan Bukit Putri.

Terdapat bangku bagi pendaki berehat malah kami melihat pemandangan persekitaran Kampung Santubong.

Bermula dari situ, pendakian semakin sukar dengan laluan berakar membentuk seperti tangga dan berbatu serta agak curam.

Kami perlu lebih berhati-hati bagi memastikan keselamatan diri dan setibanya di checkpoint F9, kekuatan mental dan fizikal sekali lagi teruji dengan kawasan berbatu serta kecerunan kira-kira 90 darjah.

Hanya satu laluan iaitu menggunakan tangga diperbuat daripada batang-batang kayu diikat menggunakan tali dengan jaraknya agak panjang hingga menyebabkan kesukaran mereka yang kurang tinggi memanjat sampai lutut bertemu dada.

Apatah lagi, bertembung dengan kumpulan yang mahu turun maka tolak ansur antara satu sama lain perlu ada bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Selepas beberapa tangga tali kayu yang tinggi hingga 15 meter ditempuhi, tiba penulis bersama rakan-rakan di puncak gunung.

Pemandangan bandar raya Kuching dapat dilihat jika tiada awan tebal yang menghalang pemandangan.

Perjalanan turun kebiasaannya lebih pantas tetapi sampai di checkpoint F9 kami diuji meneruni cerun curam berkenaan.

Perjalanan turun diteruskan dan akhirnya sekitar pukul 5 petang penulis dan rakan-rakan selamat tiba ke tempat permulaan di laluan Bukit Putri.

Bagi Farah Diyana Samsuddin, 29, berkata, pendakian itu begitu mencabar buat dirinya lebih-lebih lagi gayat apabila berada di tempat tinggi.

“Tempat cerun yang curam itu memerlukan saya menggunakan segala tenaga memanjat tangga tali itu.

“Bagaimanapun atas bantuan rakan-rakan lain saya berjaya menaiki dan turun Gunung Santubong dengan selamat,” katanya.

Bagi Julie Ngadan, 30, dia hampir berputus asa ketika di pertengahan perjalanan namun atas sokongan rakan-rakan lain berjaya sampai ke puncak.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Nor Hisham Mohammad yang turut mendaki bersama berkata, mereka yang ingin mendaki Gunung Santubong dinasihatkan tidak mengambil mudah soal tahap kecergasan masing-masing.

“Mendaki merupakan suatu riadah lasak iaitu jika tidak cukup cergas boleh menjadi bencana.

“Insiden dilihat banyak berlaku disebabkan mereka mengambil mudah bagi mendaki gunung ini sedangkan Gunung Santubong salah satu gunung yang sukar didaki dengan banyak halangan vertikal bagi pendakian sehari,” jelasnya.