Sungai, suatu latar alam yang membawa bersamanya sumber kehidupan memberi makna besar kepada kalangan pencintanya, juga suasana luar biasa bagi mereka yang belum pernah merasai pengalaman berada dalam ruang lingkup persekitaran.

Di Terengganu, hampir semua daerah di negeri ini terletak bersempadan dengan laut dan sungai-sungai yang mengalir ke muara banyak mencorak hutan paya bakau dan nipah, selain penempatan di pinggirnya yang subur, merupakan sebahagian daripada warisan yang masih tersisa.

Tumbuhan itu menabir sepanjang tebingnya yang turut menjadi habibat pelbagai spesies hidupan air dan darat, selain penempatan manusia yang masih bergantung kepada kepelbagaian sumber alam untuk kelangsungan hidup.

Ia sememangnya mampu menjadi suatu aset pelancongan yang menarik tumpuan jika di­ekspolitasikan secara kreatif demi membawa pengunjung menyusuri laluan mudik dalam irama kucah air, selain melibatkan bersama mereka dalam aktiviti setempat.

Pelancong datang dengan keinginan tersendiri untuk dijengah, dan tentunya mereka yang ingin berhibur bersama alam akan lebih cenderung menghayati khazanahnya, jika peluang disediakan bagi mengajak mereka.

Salah satu kawasan sungai yang menarik pelancong ialah Sungai Marang. Memiliki aliran tenang dan masih jernih, sungai itu menyajikan panorama bersama resam kehidupan setempat.

Jika ingin menyusuri sungai itu, boleh bermula dari kawasan jeti di muara berhampiran bandar kecil Marang yang terletak kira-kira 22 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu.

Anda boleh mendapatkan khidmat bot-bot pelancong di situ atau menghubungi agensi pelancongan yang bersedia menawarkan pakej atau berhubung dengan kenalan yang boleh membantu.

Dari situ, anda boleh melihat bot-bot nelayan yang berlabuh, berlatarkan seberangnya, permulaan yang cukup menarik bagi mereka yang menggemari fotografi, selain menjentik keinginan kaki pancing.

Jika perjalanan pada waktu pagi, dalam sunyi, menyusur lebih 10 kilometer, mungkin mudah terserempak dengan haiwan yang bermain di pinggir atau berenang seperti kera, monyet, biawak, memerang, tuntung dan unggas berterbangan.

Anda boleh singgah di beberapa perkampungan tradisional di pinggir sungai seperti Kampung Jenang, Kampung Batu Putih, Kampung Jerung dan Kampung Bukit Durian.

Anda juga boleh menyaksikan aktiviti harian penduduk menganyam atap nipah yang masih ada permintaannya dalam kehidupan moden kini serta membuat rokok daun daripada pucuk tumbuhan itu setelah dikeringkan dan diraut.

Tentunya lebih menarik jika berkesempatan melihat beruk dilatih sebagai tenaga kerja memetik kelapa di puncak yang tinggi, sambil minum air kelapa muda segar yang dipetik sang beruk.

Selain itu, kita juga boleh menikmati nira kelapa yang eksotik rasanya, selain melihat cara pembuatan manisan yang menjadi pengganti gula dalam dalam pembuatan kuih tradisional.

Kampung Batu Putih pula terkenal dengan pelbagai hasil pertanian termasuk salak madu yang manis dan durian belanda, selain madu kelulut yang diusahakan masyarakat setempat membolehkan anda pulang de­ngan membawa buah tangan.