Keadaan begitu gelap dan sejuk seperti mana perasaan saya sekembalinya dari Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Gelap dan sejuk mungkin kerana rindu melihat gelagat, suasana dan menikmati segala yang ada di sana selepas tiga bulan mengembara. Ia merupakan satu tempoh yang agak singkat pada saya.

Selain itu, pengalaman baik buruk yang dilalui juga sudah cukup membuatkan saya mampu tersenyum keseorangan.

Berdepan dengan musim panas dan agak kering di dua negara berkenaan tidak sedikit pun menggagalkan saya melihat setiap sudut yang ada di negara berkenaan. Ada pelbagai cerita di sepanjang perjalanan.

Cuma sebaik pulang ke Malaysia, ada juga rakan bertanya kenapa Vancouver, Kanada menjadi tempat pertama walaupun Banjaran Rookies membuatkan saya memilih negara di benua Amerika Utara ini. Agak sukar sebenarnya untuk diceritakan dengan terperinci.

Namun, mengikut maklumat yang diterima sebelum tiba, Vancouver adalah salah satu bandar termahal di dunia. Sejauh mana kebenaran tidak dapat dipastikan kerana ini percubaan pertama saya ke sini.

Pada masa itu juga, saya terfikir bagaimana kehidupan penduduk di sini dan banyak lagi persoalan lain. Memandangkan saya tidak membuat apa-apa persediaan, maka saya hanya mengandaikan ia sama seperti tempat lain di AS yang majoritinya dikelilingi ‘mat saleh’.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku. Sebaik tiba di lapangan terbang pada hari pertama, saya terkedu dan pelik kerana ramai pekerja dan penduduk mempunyai iras wajah seperti penduduk Asia Tenggara. Dalam hati saya berkata:

“Kenapa ramai orang ‘Melayu’ yang bekerja di sini? Boleh tak kalau saya cuba berbahasa Malaysia dengan mereka? Rupa-rupanya, selepas ‘disiasat’, mereka merupakan rakyat dari Filipina. Ada yang telah lama tinggal di sini dan mendapat taraf warganegara. Malah ada yang berbahasa Inggeris slanga Kanada.

Dalam pada itu, di satu sudut lain pula, saya dapat melihat ada pekerja berketurunan Cina, Punjabi, India dan mungkin Arab. Sama ada pendatang atau pelajar, itu tidak pasti. Ada juga yang datang dari Ireland, Republik Czech, Australia, Sepanyol, China, Vietnam, Somalia, India dan Syria.Mereka bukan pelancong.

Ada satu masa, ketika menaiki tren, saya melihat hampir 80 peratus penumpang merupakan golongan tersebut. Pada masa itu juga, terdengar pelbagai bahasa yang dituturkan dan juga gelagat serta budaya. Mungkin inilah salah satu ‘kemeriahan’ di Vancouver pada saya.

Saya turut terfikir, mungkin ini masanya juga untuk saya memahami senario dan suasana masyarakat yang boleh menerima individu dari pelbagai negara lain.

Dalam konteks ini, saya melihat walaupun kita ada pelbagai kaum dan etnik serta mengamalkan sikap saling hormat menghormati, masih ada segelintir yang cuba mencetuskan perasaan kebencian, provokasi atau menghasut terutama melalui media sosial seperti Facebook dengan mengenepikan hak dan maruah orang lain.

Bagi saya, sudah sampai masanya kita melihat perspektif berbeza kepelbagaian masyarakat yang ada di antara kita dan di negara lain seperti di Kanada. Bukan maksud saya untuk ‘menjulang’ mana-mana negara, tetapi mempelajari sesuatu yang mungkin boleh ‘diadaptasi’ dalam masyarakat kita.

Sementara itu, pengembaraan kali ini juga membuatkan saya banyak belajar berkenaan kerenah dan perangai serta mengetahui latar belakang kehidupan sosial golongan imigran yang mungkin boleh saya ceritakan pada siri akan datang termasuk kehidupan dan kejayaan orang Melayu di sana.