Namun apa yang membuatkan penulis singgah ke situ dalam program menjelajah Sarawak dan Brunei secara kembara beg galas (backpacker) adalah untuk melihat sendiri kelibat monyet Belanda (Proboscis Monkey) di taman negara itu.

Oleh kerana percutian ini bersifat percutian bajet, maka penulis memilih bas awam untuk sampai ke jeti taman tersebut. Tambang yang dikenakan hanya RM3.50 sehala. Kami menaiki bas dari hentian yang terletak di hadapan pusat beli-belah Electra Mall.

Perjalanan bas berhenti-henti ini memakan masa kira-kira satu jam. Sebaik tiba di bangunan yang menempatkan jeti bot ke situ, kami bergegas mendapatkan tiket dan permit. Kami bernasib baik kerana bot terakhir pada tarikh 2 Februari 2018 akan berlepas tidak lama lagi.

Sekitar pukul 3.30 petang, penulis bersama enam penumpang lain menyusuri Sungai Bako sebelum bot yang dinaiki menempuh ombak ganas yang membuatkan kami berasa sedikit cemas.

Hujan tanpa henti menyebabkan laut bergelora dengan ombak besar mencecah kira-kira lima meter. Ketika satu daripada dua enjin bot mati, ketakutan mula menguasai diri. Beberapa potong ayat suci al-Quran dibaca sehinggalah bot selamat mendarat di jeti Tanjung Assam.

Hujan menyambut kedatangan kami di taman tersebut. Pada mulanya renyai, namun lama kelamaan semakin lebat sehingga membanjiri laluan pejalan kaki di hadapan hostel kami. Kami menginap di Forest Lodge Type 6 yang mengenakan kadar sewa RM100 satu malam. Bilik itu menyediakan kemudahan empat katil single dan bilik air.

Disebabkan hujan, kami tidak dapat melakukan aktiviti treking. Kami juga tidak dapat melihat batu unik yang menjadi identiti taman tersebut iaitu sea stack yang terletak dekat pantai Tanjung Pandan Kecil. Namun, kami bertuah kerana dapat melihat secara dekat kehadiran monyet Belanda yang banyak bergayut di pokok sepanjang pantai Tanjung Assam.

Hujan tanpa henti dari petang, membawa ke malam dan ke pagi esoknya menyebabkan semua aktiviti yang dirancang tidak dapat dilakukan. Justeru, kami berkemas awal untuk menaiki bot pada pukul 11 pagi. Disebabkan air laut surut, maka kami menaiki bot yang berlabuh di tepi pantai, bukan di jeti.

Kembara kami diteruskan ke Kuching dengan menaiki van dengan kadar sewa RM50 sebuah dan tiba lewat petang. Kami sempat menyeberangi Sungai Sarawak dengan menaiki bot penambang. Dengan tiket berharga RM1 seorang, kami menuju ke Kampung Boyan untuk membeli ikan terubuk masin dan kek lapis, sebelum bersantai di atas jambatan gantung yang kini menjadi salah satu tarikan di bandar raya Kuching. Keesokannya kami meneruskan perjalanan ke Sibu pula.