Selain itu, peluang berjumpa dengan Afiqah kira-kira kurang seminggu sebelum Ramadan di rumahnya di Vancouver, Kanada juga memberi peluang kepada saya mengenal lebih ramai pelajar di sana. Saya dapat berbual dan bertanya banyak pengalaman mereka.

Satu perkara yang saya perhatikan, rata-rata pelajar di sini menjalani kehidupan menyeronokkan. Hampir sama kehidupan mereka sebagaimana golongan pelajar di Malaysia. Mungkin hanya persekitaran dan budaya agak berbeza.

Di samping itu, mereka juga sangat rapat. Tidak kira bangsa atau agama. Masing-masing ada sifat hormat menghormati. Malah, ada satu ketika saya berkesempatan berbuka puasa bersama mereka juga dapat melihat keakraban yang ditonjolkan.

Dalam pada itu, selain pertemuan bersama kakitangan kerajaan dan pelajar tersebut, saya juga berjumpa dengan pasangan Melayu yang berjaya membuka sebuah restoran berkonsepkan makanan Malaysia di Vancouver. Saya masih ingat pertemuan kami ketika itu pada bulan puasa.

Segala-galanya bermula selepas Afiqah memberi nombor telefon mereka kepada saya. Saya yang berasa teruja untuk mengetahui segala-galanya tentang mereka dan mula menyusun strategi untuk berjumpa.

Cuma saya tidak tahu bila masa terbaik dan sesuai, lebih-lebih lagi tugas mereka yang sudah tentu sentiasa sibuk. Kira-kira seminggu tertangguh, saya akhirnya datang ke restoran milik pasangan ini.

Saya berjumpa Abang Z atau nama sebenarnya Zakaria Pohji dan Mek Eshah Omar yang mesra dipanggil Kak Mek. Kelihatan ketika itu mereka sibuk melayan pelanggan. Kedua-dua pasangan itu berasal dari Thailand dan Malaysia. Sebaik sahaja sampai, saya terus bertanya:

“Bang, boleh saya berjumpa dengan pemilik kedai?.Abang Z yang boleh membaca fikiran saya, meminta saya duduk. Ketika itu, hampir waktu berbuka.

Dia yang begitu baik dan mesra terus mempelawa saya berbuka puasa bersama. Saya tak menyangka dalam pertemuan pertama itu juga, saya berjumpa dengan tiga orang Melayu lain (akan diceritakan kemudian) yang menetap di Kanada.

Dalam pada itu, menurut Abang Z dan Kak Mek, mereka telah bermastautin di Kanada lebih 20 tahun lalu, dan berjaya muncul sebagai satu-satunya pengusaha restoran makanan halal berkonsepkan Malaysia yang dinamakan Mek’s Delight’.

Bagi Abang Z yang pernah bekerja di Amerika Syarikat (AS) sebagai pembuat bagel, kejayaan boleh dicipta di mana-mana sahaja. Apa yang penting adalah kemahuan dan tiada jalan pintas. Selain itu, kesabaran juga memainkan peranan penting.

Itu sebabnya, nak berjaya dalam apa jua perkara bukan senang seperti yang diungkapkan. Saya berasa banyak juga perkara saya boleh belajar berkenaan golongan imigran sewaktu di sini.

Sementara menanti waktu berbuka, saya sempat menjenguk ke bahagian dapur melihat bagaimana Kak Mek bertungkus lumus menyediakan pesanan pelanggan.

Saya terfikir mengapa tidak orang Melayu mencuba kehidupan di luar negara?. Mampukah orang Melayu bersaing dan bersama-sama mencipta kejayaan? Adakah orang Melayu mempunyai hati yang kental?.

Lalu saya simpankan sahaja soalan yang terdetik tadi untuk disoal kepada Abang Z, Kak Mek dan rakan-rakannya nanti yang akan datang berbuka puasa bersama ketika itu.