Dengan keluasan kira-kira 43, 147 hektar, taman negara yang berada dalam kawasan Maludam sehingga Triso itu bukan sahaja dihuni spe­sies reptilia ganas, tetapi turut berkongsi kehidupan dengan pelbagai haiwan lain seperti Red Banded Langur, Silvered Langur dan Long Tailed Macaque.

Taman negara ini juga menjadi salah satu tempat tumpuan untuk melihat monyet Belanda atau nama saintifiknya, Proboscis Monkey secara lebih dekat.

Di samping itu, kawasannya yang berpaya dengan tumbuh-tumbuhan unik menjadikan ia satu tempat istimewa.

Justeru, tidak hairanlah rata-rata pelawat termasuk pengamal media yang mengikuti Kembara Batang Lupar 2017 an­juran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini kagum dengan persekitarannya.

Malah ada yang mengibaratkan seolah-olah seperti berada di Taman Negara Everglades di Miami, Amerika Syarikat (AS) selepas melihat kawasan semula jadinya.

Mohamad Zabidi Osman, 55, berkata, persekitaran Taman Negara Maludam cantik dengan tumbuhan yang agak jarang ditemui membuatkan seperti berada di negara lain.

“Mula-mula menaiki bot, saya lihat airnya agak hitam dan saya berpandangan ia mungkin sungai yang kotor. Tetapi sebenarnya tidak ke­rana ia kawasan paya. Selepas beberapa minit, saya merasakan seperti berada di Everglades atau di kawasan paya di Louisiana, AS.

“Ini merupakan tempat terbaik kepada pencinta alam semula jadi,”katanya.

Dalam pada itu, seorang renjer Jabatan Hutan Sarawak, Laing Lesley Ului berkata, waktu terbaik untuk melihat monyet unik ini adalah waktu pagi dan lewat petang iaitu ketika monyet ini mencari makanan.

Dia yang menyambut ketibaan kumpulan Kembara Batang Lupar yang disertai media elektronik dan media cetak pelbagai agensi itu turut memberi panduan kepada semua peserta.

“Jika bernasib baik, kita boleh lihat buaya di tebing serta monyet Belanda. Selain itu, tempat ini juga adalah tempat terbaik untuk melihat burung,” katanya.

Dalam pada itu, kami turut dibawa menyusuri Sungai Maludam selama kira-kira satu sejam. Sebahagian daripada kami berpeluang melihat buaya yang berjemur di tepi tebing, di samping melihat kehidupan masyarakat rumah panjang semasa dalam perjalanan.

Nurul Huda Zulkifli, 33, wartawan Utusan Karya berkata, pengalaman berkunjung ke Taman Negara Maludam cukup menarik, lebih-lebih lagi ini kali pertama dia ke tempat itu.

“Kawasan ini merupakan habitat semula jadi ratusan ekor buaya yang menjadi tarikan utama Taman Negara Maludam. Alam semula jadinya juga masih kekal terpelihara walaupun dilawati ramai pengunjung saban tahun. Inilah lokasi terbaik buat pencinta alam.

“Namun sedikit penambah baikan harus dibuat bagi menarik minat pelancong datang ke sini. Promosi secara berterusan perlu dilakukan,” ujarnya.