This photo is taken with Brica B-PRO5 Alpha Edition MK.
 

Untuk pergi ke Pulau Weh, kita cuma perlu menaiki feri selama kira-kira 45 minit dari Pelabuhan Ulee Lhueue, Banda Aceh sebelum meneruskan perjalanan darat ke jeti di tepi pantai Iboih, daerah Sukakarya untuk sampai ke Pulau Rubiah.

Di kawasan tersebut, deretan kedai menawarkan perkhidmatan dan peralatan bagi aktiviti selam snorkel serta selam skuba untuk pelancong. Kita cuma perlu memilih yang bersesuaian dengan kehendak masing-masing.

Meninjau ke dasar laut dari atas bot sahaja sudah mengagumkan, apatah lagi jika aktiviti selam snorkel dilakukan. Kita pasti teruja melihat pelbagai spesies ikan di celah-celah batu karang yang pegun atau meliuk-lintuk.

Bagi yang baharu mencuba selam snorkel atau tidak tahu berenang, tidak perlu khuatir untuk pergi jauh kerana berdekatan pantai pun, kita sudah boleh menyaksikan keindahan bermacam-macam bentuk terumbu karang sambil dikerumuni ikan pelbagai warna dan bentuk.

Keseronokan di Pulau Weh bukan terletak pada aktiviti itu sahaja. Malah pengunjung boleh menikmati kesejukan Air Terjun Pria Laot yang berlatarkan alam semula jadi, selain menjejaki Gua Sarang iaitu tempat burung walet membuat sarang di dalam gua yang terletak di tepi pantai Iboih.

Di samping itu, kita boleh berswafoto di tugu I Love Sabang, menikmati suasana keindahan matahari terbenam di tepi pantai dan mengunjungi Tugu Nol Kilometer Indonesia atau 0 (Sifar) Kilometer iaitu kawasan paling hujung di sebelah barat Indonesia.

Tidak hairanlah, bagi memeriahkan kalendar pelancongan tahun ini, kerajaan Indonesia buat julung kalinya akan menganjurkan program ‘Sail Sabang’ mulai 28 November hingga 5 Disember ini bagi menarik penggemar kapal layar singgah ke Pulau Weh.

This photo is taken with Brica B-PRO5 Alpha Edition MK.
 

Beralih ke Banda Aceh pula, tempat tarikan pelancong sudah semestinya melibatkan kesan peninggalan tsunami yang berlaku kira-kira 13 tahun lalu. Muzium Tsunami Aceh, Kapal PLTD Apung, Masjid Raya Baiturrahman dan Masjid Rahmatullah di pantai Lampuuk yang kukuh berdiri sewaktu bencana itu melanda seharusnya dijelajahi.

Seperkara lagi, ketepikan stigma kononnya hanya kaum lelaki dan umat Islam sesuai melancong ke sini kerana menurut Ketua Seksi Tata Kelola dan Pemberdayaan Masyarakat Pariwisata Banda Aceh, Akmal Fajar, Aceh tidak pernah menutup pintu kepada masyarakat bukan Islam, lantaran hukuman syariah tertakluk kepada umat Islam sahaja.

This photo is taken with Brica B-PRO5 Alpha Edition MK.
 

“Tidak pernah orang bukan Islam dihukum mengikut syariah kerana tidak memakai jilbab. Ini kerana itu untuk wanita Muslim sahaja, tetapi seharusnya budaya tempatan dihormati dengan berpakaian sopan,” katanya.

Bagi Pengarah agensi pelancongan Olympik Holidays Sdn. Bhd., Izuan Aziz dari Malaysia, golongan muda seharusnya meneroka keindahan Pulau Weh memandangkan Aceh pantas membangun selepas dilanda bencana tsunami dan perang saudara selama 30 tahun.

MASJID Raya Baiturrahman yang kukuh berdiri meskipun kawasan sekelilingnya
 

“Walaupun Aceh kurang popular sebelum ini tetapi selepas tsunami, aktiviti pelancongannya berkembang pesat ke seluruh dunia dan itu bermakna, tsunami telah digunakan ke arah positif,” katanya.

Bak kata pemandu pelancong sepanjang kami di bumi Aceh, Muhammad Efendi atau Ferry: “Kami tidak menjual mayat, kami menjual kebangkitan.”

Pastikan juga sebelum meninggalkan keindahan kawasan penghujung pulau Sumatera ini, anda telah puas menikmati aroma kopi tempatan terbaik dari Gayo di deretan kafe di sekitar Banda Aceh.