Jumlah tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 11.9 peratus berbanding 2.07 juta pada 2013 dan peningkatan itu dibantu melalui pembabitan 11 syarikat penerbangan melalui 608 penerbangan seminggu dari bandar-bandar besar Indonesia ke Malaysia.

Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr. Ng Yen Yen berkata, pasaran Indonesia amat penting bagi industri pelancongan Malaysia kerana faktor penduduknya yang ramai dan kuasa belinya yang mapan.

“Kami menyasarkan kedatangan 2.96 juta pelancong Indonesia ke Malaysia sempena Tahun Festival Malaysia (MyFest) 2015 yang sedang berlangsung sekarang,’’ katanya ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan dan pelancaran pakej pelancongan MyFest 2015, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri, Datin Seri Che Mahani Ismail, Pengarah Tourism Malaysia di Jakarta, Ahmad Esa, pemain industri pelancongan Indonesia dan wartawan tempatan.

Tahun ini, Malaysia memperkenalkan kempen pelancongan MyFest, kesinambungan daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang bertujuan memberi pengalaman percutian menarik melalui tarikan kebudayaan rakyat Malaysia.

Pada masa ini, pelancong dari Singapura paling ramai mengunjungi negara ini, manakala jumlah pelancong dari China menduduki tempat ketiga.

Menurut Yen Yen, pembukaan laluan baharu penerbangan seperti Jakarta – Johor Bahru, Bandun. – Johor Bahru dan Bali – Kota Kinabalu turut menyumbang kepada peningkatan pelancong dari Indonesia.

Sementara itu, Zahrain dalam ucapannya berkata, pada tahun lepas, aliran kedatangan pelancong bagi kedua-dua negara sangat positif apabila kira-kira 2.8 juta pelancong Indonesia datang ke Malaysia dan 1.8 juta pelancong Malaysia ke Indonesia.

“Ini merupakan petanda yang baik. Ia terjadi kerana banyak produk menarik ditawarkan, kos kemasukan yang mudah, nilai untuk wang dan suasana aman serta hubungan baik kedua-dua negara,’’ ujarnya.

Menurutnya lagi, kelemahan nilai rupiah menyebabkan percutian di luar negara khususnya di Eropah dan Amerika menjadi mahal. Sehubungan itu, Malaysia menjadi negara yang sesuai untuk dikunjungi dengan harga tiket pesawat dan hotel yang lebih murah. – UTUSAN