Sebagaimana matlamat asal penganjuran program, strategi promosi MTC tidak hanya tertumpu kepada aktiviti perladangan, pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani malah turut mempromosikan hospitaliti, kebudayaan, keseniaan dan makanan.

Dalam menjayakan program yang berlangsung baru-baru ini, MTC turut bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan Perbadanan Putrajaya dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Wilayan Persekutuan.

Seramai 50 pengamal media termasuk blogger dan selebriti Maria Tengku Sabri menyertai program selama empat hari tiga malam itu.

Sebagai pembukaan majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari kemudian disusuli dengan persembahan silat dan berselawat.

 

TAMAN EQUESTRIAN 
PUTRAJAYA

Jangan tak tahu di Putrajaya ada lokasi menunggang kuda yang terletak di Taman Equestrian di Presint 5. Ketika berkunjung ke sini kami diberi peluang menunggang kuda selama beberapa minit sebelum di bawa melawat kandang kuda bagi melihat bagaimana haiwan itu dijaga dan diuruskan dengan rapi.

Antara kemudahan yang terdapat di taman ini termasuklah trek menunggang kuda, padang polo, padang ekuestrian, clubhouse, lapangan melatih kuda dan sebagainya,

Bagi mereka yang berminat untuk menunggang kuda atau mengikuti kelas menunggang kuda bolehlah berkunjung ke sini.

 

KAMPUNG BARU

Menghampiri pukul 11 malam, aktiviti 10,000 Langkah Berbusana dimulakan dari Tamu Hotel and Suites menuju ke Kampung Baru yang disertai lebih 100 peserta yang mengenakan busana melayu tradisional.

Aktiviti yang dianjurkan Persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Malaysia kelolaan DSSM cawangan Kuala Lumpur itu berjaya mencuri tumpuan ramai pengunjung yang menikmati sajian makanan di deretan gerai dan restoran termasuk pelancong asing.

Tertarik dengan keunikan dan keindahan busana Melayu tradisional, seorang pelancong asing turut dilihat mengambil kesempatan bergambar bersama peserta lelaki yang mengayakan pakaian tradisional seperti pahlawan Melayu dan peserta wanita seperti pahlawan srikandi.

Antara matlamat program ini bukan sahaja menggalakkan amalan sihat melalu aktiviti berjalan kaki malah turut menjadi wadah memartabatkan warisan pakaian tradisi masyarakat Melayu agar terus berkekalan meskipun berubah zaman.

Program yang berlangsung selama sejam itu berakhir di Masjid Kampong Baru dengan diiringi majlis pengagihan bubur lambuk.

 

TAMAN WARISAN PERTANIAN

Lawatan diteruskan pada hari berikutnya menaiki bas Hop On Hop Off dengan diiringi Marshall Bikers Malaysia menuju ke Taman Warisan Pertanian iaitu taman yang mempamerkan perkembangan tanaman komersil negara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara seperti getah, kelapa sawit, kopi, teh, buah-buahan,herba dan rempah ratus.

Selain memupuk kesedaran dan minat terhadap sejarah tanaman pertanian komersial negara dalam kalangan pengunjung, taman ini juga menawarkan pelbagai aktiviti dan program agro sepanjang tahun.

Lokasi ini sesuai untuk mereka yang menginginkan pengalaman yang interaktif dan berpendidikan kerana di sini anda akan diberi pendedahan tentang warisan pertanian melalui demonstrasi aktiviti pertanian.

 

CRUISE TASIK PUTRAJAYA

Rombongan media dibawa merasai pengalaman pelayaran menaiki bot persiaran di sam­ping melihat keindahan pemandangan Tasik Putrajaya yang dikelilingi kepelbagaian struktur bangunan moden yang mengagumkan seperti Masjid Putra, Jambatan Seri Wawasan dan Ba­ngunan Perdana Putra.

Sekiranya pengunjung ingin menikmati makanan tengahari, minum petang dan makan malam dalam suasana yang indah dan mendamaikan bolehlah menaiki bot persiaran Daun, Kelah atau Sebarau.

Namun, jika sekadar ingin merasai suasana santai dan melihat pemandangan lanskap bolehlah menaiki bot persiaran Belimbing. Di sini juga pegunjung turut berpeluang merasai pe­ngalaman menaiki perahu tradisional Dondang Sayang dan Lepa-Lepa.

 

MASJID TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN

Program lawatan diteruskan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang terletak di tepi tasik Putrajaya dan bertentangan istana kehakiman. Pengalaman singgah menunaikan solat di sini memberi peluang kepada rombongan media menyaksikan dan menghayati keindahan seni bina yang menerapkan reka bentuk angin, sederhana dan telus.

Uniknya masjid ini mempunyai identitinya tersendiri iaitu tidak mengikut senireka Arab sebaliknya menerapkan campuran kesenian Jerman dan China di samping tidak mempunyai menara seperti masjid lain. Masjid ini juga merupakan satu-satunya masjid yang menggunakan 70 peratus besi sebagai bahan binaan sementara 30 peratus pula daripada konkrit.

 

Lari dari kebiasaan menikmati hidangan di hotel atau di restoran, kami dibawa menikmati makan malam di Hotspot Putrajaya iaitu lokasi yang mengumpulkan komuniti peniaga food truck dalam satu kawasan.

Di sini terdapat pelbagai pilihan makanan yang boleh dinikmati mengikuti cita rasa masing-masing.