Hotel yang terletak di bekas tapak yang pernah popular sebagai tempat melihat anak bulan, Baitul Hilal di Kilometer 12.8 (Batu 8), Jalan Pantai Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan itu mula beroperasi sejak bulan lalu.

Bangunan hotel butik itu adalah sebahagian daripada Kompleks Baitul Hilal yang telah dinaik taraf sebagai pusat kaji bintang yang moden dan terunggul di rantau ini.

Pengurus hotel ini, Che Dzarudin Che Omar berkata, Klana Beach Resort adalah hotel pertama di negeri ini yang menawarkan konsep pematuhan syariah dalam operasinya.

Sebagai pusat penginapan yang mematuhi syariah, maka tidak ada alkohol dihidangkan di premis tersebut dengan semua jenis masakan dan minuman adalah halal.

Beliau berkata, kakitangan yang bertugas mengenakan pakaian yang menutup aurat dan lagu yang berkumandang di dalam premis hotel adalah lagu-lagu berunsur Islam seperti nasyid.

"Pada masa depan, kami bercadang menawarkan program tazkirah kepada para penginap," katanya kepada S2 di Port Dickson, Telok Kemang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Klana Beach Resort mempunyai 43 bilik superior, 39 bilik deluxe dan tiga unit apartmen dengan harga promosi yang ditawarkan pada masa ini bermula daripada RM180 hingga RM450.

Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan seperti televisyen plasma, seterika, peti keselamatan persendirian, pancuran air panas dan sejuk serta Wi-Fi percuma.

Kemudahan lain di hotel itu adalah kedai cenderamata, bilik permainan kanak-kanak dan kolam renang yang dijangka boleh digunakan pada awal Mac ini.

Sebuah kafe yang mampu menampung 150 orang juga beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam.

Terdapat dua dewan yang mampu memuatkan 200 orang dan 150 orang, selain sebuah bilik mesyuarat VIP serta 82 petak meletak kereta.

Menambah tarikan hotel itu ialah laluan pesiar kaki sepanjang 300 meter di sepanjang gigi pantai berhadapan hotel bagi membolehkan penghuni menikmati suasana indah, terutamanya pemandangan menarik semasa matahari terbenam.

Che Dzarudin memberitahu, sebaik sahaja balai cerap siap sepenuhnya, hotel itu bercadang menawarkan pakej mencerap cakerawala kepada para penginap sebagai satu tarikan yang berlainan berbanding dengan hotel lain di pantai peranginan popular itu.

Pada masa ini, katanya, pihaknya hanya menunggu pemasangan teleskop 609 milimeter yang merupakan antara teropong jauh terbesar di Malaysia untuk mencerap bintang, planet, langit dan cakerawala.

Tambahnya, sejak beroperasi mulai bulan lalu, hotel itu telah menarik kedatangan 2,076 tetamu termasuk dari Singapura, Pakistan, China dan Sudan.

Che Dzraudin menarik perhatian dengan segala kemudahan yang ditawarkan, pihaknya menganggap kadar bayaran yang ditawarkan adalah berpatutan bagi kawasan peranginan tersebut.