Geopark adalah kawasan yang terdapat tapak warisan geologi yang boleh digunakan bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari. Di Langkawi, terdapat tiga kawasan pemuliharaan utama dengan status Geopark Dunia oleh UNESCO disenaraikan di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Ia adalah Machincang Geoforest Park (terletak di Cablecar dan Skybridge Langkawi) - dianggarkan antara 450 juta hingga 570 juta tahun - dengan formasi batuan tertua di rantau ini; tarikan batu kapur dan hutan bakau di Kilim Karst Geoforest Park dan tasik air tawar indah di Taman Geoforest Dayang Bunting. Penulisan difokuskan kepada perjalanan ke hutan bakau di Kilim Karst Geoforest Park untuk mengetahui ciri-ciri geologi unik.

Kilim Karst Geoforest Park

Perjalanan ke Kilim Karst Geoforest Park melalui sungai Kilim. Caranya menaiki bot sama ada dari Jeti Kilim atau Teluk Tanjung Rhu terletak di hujung utara Langkawi. Kami sekeluarga lima orang menggunakan khidmat pemandu pelancong syarikat tempatan melalui pengembaraan safari eco-mangrove seharian ke dalam hutan bakau dan tanah paya.

Kami dijemput di hotel pukul 9 pagi. Ambil 30 minit perjalanan ke jeti, Bazli, guide kami telah menunggu bersama lima orang pelancong dari Amerika Syarikat (AS). Kami diberi penerangan dan pengenalan tentang lawatan dan pengembaraan. Bot dilengkapi jaket keselamatan dan kanopi.

Perjalanan bot bermula di sepanjang Sungai Kilim dengan pemandangan indah antara hutan bakau menghijau dan tebal dikenali sebagai bakau tanah lembap dan batu kapur gergasi yang semakin membesar dari dasar sungai.

Sebahagian batu kapur kelihatan seperti gunung telah terbentuk 570 juta tahun lalu. Ekosistem hutan paya bakau berfungsi mengurangkan kesan gelombang ombak dari arah laut. Hutan paya bakau berperanan sebagai benteng atau kubu di tepi pantai untuk menghalang ombak kuat dan angin kencang dari lautan. Hutan paya bakau amat penting sebagai habitat dan tempat pembiakan beberapa hidupan liar.

Gua Kelawar

Perhentian pertama adalah Gua Kelawar. Dinamakan begitu kerana populasi terbesar ialah Malaysia Bats Fruit. Selepas turun bot, terdapat jambatan kayu melalui paya bakau dan ke gua. Panjang gua kira-kira 100 meter, agak gelap dan suasana di dalamnya menyeramkan.

Pemandu pelancong kami menggunakan lampu suluh untuk memberi panduan dan kami tidak dibenarkan bersuara atau menyalakan lampu kerana akan memudaratkan kelawar. Haiwan ini tidak kelihatan melainkan kita menyuluh ke siling gua.

Terdapat lebih 1,000 ekor kelawar daripada tiga spesies berlainan menghuni gua dan makanan utama ialah buah-buahan. Kelawar ini tidak berbahaya. Paling seram terjumpa banyak kulit ular. Memang cuak kalau terserempak dengan ular jatuh dari siling gua.

Batu Kapur Jutaan Tahun

Di dalam gua terdapat pelbagai bentuk, saiz dan arca indah hiasan asli gua batu kapur seperti stalagtit dan stalagmit. Ini adalah khazanah alam belum terusik berusia ratusan juta tahun. Jambatan pejalan kaki betul-betul melalui gua dan keluar di seberang terbuka. Keluar gua terdapat jambatan yang tebingnya batu kapur dan pokok paya bakau.

Terdapat pokok aneh di atas tebing batu kapur dipanggil Cycad atau Cycad Clivicola, tumbuhan primitif wujud 200 juta tahun lalu sebelum zaman dinosaur. Ada menyebutnya The Fossil Living. Rupanya seperti paku pakis besar.

Long Tailed Macaque

Semasa menunggu bot, monyet spesis long tailed macaque menghiburkan. Monyet ini boleh menyelam di dalam air. Paling menarik mereka membasuh ketam mud crab yang ditangkap sebelum makan. Kami tidak dibenarkan memberi makan monyet kerana akan menyebabkan mereka bergantung kepada pengunjung untuk makanan dan mengganggu ekosistem semula jadi. Jika terlalu bergantung kepada manusia, mereka menjadi ganas jika tidak dapat makanan daripada manusia.

Hole in the Wall

Perhentian kami seterusnya di Hole in the Wall di mana terdapat beberapa restoran terapung dan tempat penternakan ikan sangkar. Kami berhenti menikmati makan tengah hari. Sementara menunggu, kami memberi makan ikan ternakan dalam sangkar. Pengalaman menarik bila dapat memasukkan anak ikan ke dalam mulut ikan pari.

Eagle Sanctuary

Kami menaiki bot, dibawa ke kawasan air tenang dikelilingi batu kapur tinggi dan hutan paya bakau. Ini adalah Eagle Sanctuary. Enjin bot diberhentikan untuk melihat helang mencari makanan. Kami tertarik dengan cara hidup burung mencari makan dan bekerjasama. Terdapat dua jenis helang - helang laut berbulu putih dan layang-layang Brahminy. Terdapat beberapa perahu kecil mencampakkan lemak ayam ke permukaan air bagi menarik perhatian helang.

Aktiviti ini bertentangan dengan keseimbangan alam sekitar dan ekosistem kerana mereka akan bergantung kepada manusia untuk makanan. Lebihan lemak ayam mencemarkan kualiti air sungai di kerana lemak tidak tenggelam ke dasar sungai.

Misi Mencari Haiwan Liar

Memandangkan ini adalah pakej ecotourism, kami teruja melihat aktiviti interaksi hutan paya bakau dan hidupan liar. Pemandu bot membawa kami ke hujung hutan paya bakau. Bot dipandu perlahan untuk mencari hidupan liar.

Kami menggunakan segala deria mencari hidupan yang ada. Dalam hati hanya Allah yang tahu. Sunyi dan menyeramkan. Selepas 20 minit, kami melihat ular sedang memanjat pokok dan ada sedang tidur.

Pulau Terpencil Tengah Lautan

Bot membawa kami ke arah lautan luas. Kami teruja melihat pertembungan sungai dan laut.Pemandangan menakjubkan.Kami dibawa ke tengah lautan dan bergambar di mercu tanda batu kapur Kilim Karst Geoforest Park.

Perhentian seterusnya ke sebuah pulau terpencil. Kami bergambar dan bermandi manda. Airnya jernih dan cetek serta muka bumi indah menunjukkan batu kapur berusia jutaan tahun. Pulau ini terletak di tengah lautan luas berhampiran perairan Thailand.

Aktiviti Menanam Benih Bakau

Puas berenang, kami ke hutan paya bakau memetik benih bakau. Kami diberikan penerangan tentang pembiakan bakau dan cara penanaman. Bot membawa kami ke kawasan penanaman semula bakau. Bangga dan puas sebab dapat membantu menyelamatkan alam sekitar untuk jangka masa panjang. Kami sangat menghargai aktiviti yang kami lalui.