Tidak dinafikan kehebatan Dubai sebagai destinasi pilihan beli-belah terbaik buat golongan elit, namun itu tidak bermakna ia tidak sesuai dikunjungi kumpulan berpendapatan sederhana bagi merasai keajaiban yang terdapat di sebuah wilayah terbaik di Emiriyah Arab Bersatu itu.

Pengembaraan bersama keluarga tersayang ke Dubai pastinya akan menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan apabila berpeluang berkunjung ke ‘hot spot’ baharu di kota keriangan tersebut.

Terletak sedikit terpinggir iaitu kira-kira 45 minit perjalanan dari kota Dubai, namun Dubai Park Resort merupakan destinasi pilihan bijak yang harus dirasai bersama keluarga.

Terdapat beberapa tema, antaranya Bollywood, Lego Land, Motiongate yang menempatkan kepelbagaian karektor bintang Hollywood dan merasai suasana bandar di Perancis sekitar 1,600 tahun lalu iaitu di Riverland Dubai. Kepelbagaian permainan hebat yang disediakan memerlukan pengunjung untuk menghabiskan masa selama sehari suntuk untuk menikmatinya.

Bagi mereka yang sukakan aksi mencabar atau ‘adrenaline rush’, terdapat sebuah taman tema khusus lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Atlantis Water Park. Berkeluasan 56.4 hektar, taman tema ini turut menyajikan dua jenis aktiviti menarik untuk diterokai iaitu Aqua Venture dan Water Park.


REDAH PADANG PASIR

Setelah penat bermain air, aktiviti mencabar menarik lain boleh dilakukan bersama ahli keluarga adalah menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4) di tengah padang pasir, iaitu Desert Safari Dubai.

Cabaran kali ini berbeza iaitu seakan bermain luncur ombak atau roller coaster yang menuntut ketahanan fizikal dan minda. Jika tidak bersedia, anda mungkin ‘termuntah hijau’ apabila keluar daripada kenderaan.

Apa tidaknya, membelah padang pasir dengan kenderaan 4x4 secara 45 darjah dan seakan mahu terbalik, aktiviti tersebut merupakan satu kepuasan buat penggemar aktiviti lasak.

Jangan takut, semuanya menggunakan khidmat pemandu pakar, tidak pernah berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang aktiviti lasak itu yang mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Namun begitu, aktiviti santai turut disediakan iaitu peserta turut berpeluang menunggang unta dan makam malam di ‘kem-kem’ di tengah padang pasir sambil menyaksikan matahari terbenam.

Peserta turut disajikan dengan tarian masyarakat setempat yang menggunakan pakaian berlampu dan kain berat iaitu Tarian Tanoura di Qasr Al-Sultan.

Meskipun menari secara berpusing-pusing sehingga setengah jam tanpa henti, penarinya masih gagah di atas pentas sambil berlakon mendodoikan anak kecil. Satu persembahan menarik untuk disaksikan.

Sementara itu, tidak sah jika sudah berada di Dubai tetapi tidak berkunjung ke bazar terkemuka iaitu Naif Souq di Deira, selain membeli belah di pasar raya terkemuka Dubai Mall dan Emirates Mall.

Apa yang pasti, kenangan berada di Dubai bersama ahli keluarga dengan melakukan aktiviti mencabar merupakan kenangan terbaik dalam perjalanan pengembaraan kali ini.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman hebat ini, anda boleh menghubungi pejabat Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. di talian 013-358 9211 atau melayari www.thts.com.my, laman Facebook dan Instagram Tabung Haji Travel bagi mendapatkan maklumat lanjut.